SARIKEI: Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata terdapat dakwaan sebelum ini ada pihak yang menawarkan untuk menjual netbook 1Malaysia. Tetapi beliau berkata tiada bukti untuk mengesahkan tindakan mereka itu dan untuk menjalankan siasatan.
“Dan sekarang dakwaan itu berbangkit semula dan dipaparkan di Facebook di mana mereka menawarkan untuk menjual netbook antara RM100 dan RM300.
“Saya tidak tahu sama ada ini adalah benar sebab sesiapa sahaja boleh paparkan jualan di Facebook. Ini boleh jadi penipuan. Bagaimana seseorang boleh mempunyai banyak netbook untuk dijual?” katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas isu itu di sini malam kelmarin yang dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Yee Moh Chai baru-baru ini.
Salang berkata netbook itu diberi kepada rakyat yang memerlukannya.
“Saya tidak fikir mereka yang berkenaan harus mengambil jalan pintas untuk mendapat beberapa ratus ringgit, kerana mereka tidak akan dapat nilai daripada manfaat memiliki netbook itu,” katanya.
Terdahulu ketika menghadiri majlis ‘1Malaysia Bersama Pemimpin’ di Rumah Geramong di Nanga Ayam, Julau, Salang berkata BN adalah kerajaan yang berjiwa rakyat yang berhak mendapat sokongan mereka pada pilihan raya akan datang.