KOTA TINGGI – Tiga maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 44, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata mereka ialah Mohd Ali Kenid, 51, dari Kampung Felcra Sungai Layau, Abdul Samah Darmawi, 56, dari Felda Kledang dan Siti Noraizah Abdul Wahab, 21 dari Felda Sungai Mas.
Beliau berkata Mohd Ali meninggal dunia di tempat kejadian, Abdul Samah ketika dalam perjalanan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) manakala Siti Noraizah pula selepas lima jam menerima rawatan di HKT.
“Kemalangan berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila lori treler yang dalam perjalanan menuju ke Kota Tinggi telah bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu oleh Siti Noraizah, yang datang dari arah bertentangan.
“Kejadian itu menyebabkan lori treler berkenaan hilang kawalan lalu masuk ke arah bertentangan lalu bertembung dengan kereta Proton Wira yang dipandu oleh Mohd Ali.