JELEBU – Keseronokan dua beradik mengutip buah rambutan berhampiran sebuah kebun getah di Jalan Simpang Pertang-Pasoh di sini bertukar pilu apabila terjumpa mayat bapa saudara mereka, pagi semalam.
Mangsa, Alit Sidek, 50, ditemui dalam keadaan bogel dan tertiarap berhampiran pondok di kebun itu.
Saudara terdekat mangsa, Jamaludin Yahya, 57, berkata, dua anak saudaranya yang berumur 14 dan 18 tahun datang ke kebun berkenaan bersama seekor anjing peliharaan untuk mengutip buah rambutan kira-kira jam 11 pagi.
“Sebelum mengutip buah rambutan, mereka agak hairan kerana kelibat Alit tidak kelihatan, yang ada cuma basikalnya. Biasanya dia akan tidur di pondok dalam kebun itu agar mudah untuk menoreh getah keesokan harinya.
“Anjing yang mereka bawa juga kelihatan resah dan hanya mundarmandir di kawasan berhampiran.
Mereka terkejut apabila ternampak sekujur tubuh tidak bernyawa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Jamaludin berkata, kedua-dua remaja itu kemudian bergegas memaklumkan hal tersebut kepadanya dan mereka segera membuat laporan di Balai Polis Simpang Pertang.
Sementara itu, sumber polis berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih kurang dua hari.
“Mangsa merupakan masyarakat Orang Asli yang menetap di Kampung Asli Batu 17, Simpang Pertang di sini.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Klawang, Jelebu untuk bedah siasat. Setakat ini punca kematian masih belum diketahui,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, mangsa belum berkahwin dan merupakan anak sulung daripada empat beradik.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis daerah Jelebu, Asisten Superintendan A Yuvaraj ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.