Seorang anggota biro Undang-undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mencadangkan sebuah Suruhanjaya Kedaulatan Agama Islam ditubuhkan bagi mengatasi ancaman-ancaman baru terhadap agama Islam di negara ini.
Mahamad Naser Disa berkata suruhanjaya itu perlu dinaungi oleh Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai ilmuan agama supaya setiap masalah dan aduan berkaitan agama Islam dapat diselesaikan secara muzakarah.
Beliau berkata meskipun Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf dan memartabatkan kedaulatan Islam, namun kini terdapat pihak tertentu sering melakukan pelbagai usaha bagi menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
“Islam tidak sepatutnya dijadikan bahan pertimbangan politik. Penglibatan Majlis Raja-Raja akan dapat pastikan Islam sentiasa didaulatkan,” katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk “Ancaman-ancaman terhadap Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara” pada Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (SEMAIAN) di Pusat Islam di sini.
Katanya suruhanjaya itu perlu memastikan semua pihak termasuk rakyat bukan Islam untuk menghormati kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan.