SARIKEI: Seorang guru wanita yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Jawa, Kerubong Selalang maut dalam satu kemalangan apabila kereta Kancil yang dipandu olehnya bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda.
Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 7 pagi semalam, di Jalan Pan Borneo iaitu kira-kira 19 kilometer dari pusat bandar Sarikei.
Sewaktu kejadian, guru terbabit, Norrozyana Nordin, 34, dalam perjalanan dari arah Sarikei menuju ke sekolah tempatnya berkhidmat manakala kereta pacuan empat roda terbabit pula dari arah Saratok menuju ke Sibu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei Superintenden Poniman Margiman ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian tersebut.
“Berdasarkan laporan awal yang diterima daripada pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit, kejadian itu berlaku akibat kenderaan yang dipandunya bersama seorang penumpang hilang kawalan.
“Menurut laporan mereka, kenderaan mereka telah hilang kawalan disebabkan salah satu tayarnya pancit.
“Akibat kemalangan tersebut, guru terbabit yang mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian penting badan telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang kereta pacuan empat roda itu pula hanya mengalami cedera ringan,” jelas Poniman.
Sementara itu, jurucakap Pejabat Pelajaran Daerah Sarikei yang dihubungi semalam mengesahkan bahawa Norrozyana adalah seorang guru yang bertugas di SK Jawa.
“Cikgu Norrozyana adalah seorang guru yang berasal dari Perak dan telah bertugas di negeri ini sejak 2009,” katanya.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Harun Jenai yang ditemui di lokasi kejadian berkata pihak bomba menerima panggilan tentang kemalangan tersebut pada jam 7.11 pagi.
“Kesan rempuhan akibat kemalangan tersebut menyebabkan mangsa tersepit teruk dalam kenderaan yang dipandunya dan keadaan itu memaksa pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei yang terdiri daripada 10 orang anggota mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa,” kata Harun.