Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Melayu masih belum kuat dan mereka perlu berusaha lebih gigih bagi memartabatkan bangsa mereka menerusi kebolehan masing-masing.
Beliau berkata bangsa Melayu mempunyai kebolehan masing-masing namun tidak menggunakan kebolehan itu dengan cara yang positif untuk memperbaiki kelemahan diri.
“Sememangnya ramai daripada kita mahu memperolehi sesuatu dengan cara mudah tetapi tidak mahu berusaha gigih dan setiap orang Melayu mempunyai kebolehan namun mereka tidak menggunakan kebolehan itu yang akhirnya membawa kepada keburukan kepada diri mereka sendiri,” katanya dalam program Wacana Tun Mahathir Mohamad: Masa Depan Melayu dan Islam selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 di Karangkraf di sini hari Khamis.
Dr Mahathir berkata orang Melayu harus belajar daripada pengalaman terdahulu pada waktu negara dijajah dan mereka perlu bersatu bagi menjamin serta memastikan hak orang Melayu sentiasa dipelihara di negara ini.
Katanya masa depan orang Melayu adalah berdasarkan kepada penilaian dan pertimbangan mereka dalam memilih kerajaan.
“Seperti parti DAP, walaupun mereka mengatakan mereka parti berbilang kaum yang tidak ambil kira mereka ini orang Melayu ke, Cina atau India, tetapi apabila ada pemilihan (parti) mereka tidak sedikit pun memberi pertimbangan kepada kaum lain kerana pada hakikatnya hampir kesemua yang dipilih terdiri daripada orang-orang mereka juga.
“Oleh itu keputusan yang berasas pada sejarah dan pengalaman akan membolehkan kita menentukan kerajaan yang baik,” katanya.
Menurutnya, pada masa kini masih ada orang Melayu masih mementingkan diri sendiri daripada bersatu.
“Contohnya ahli PAS sanggup mempergunakan dan menolak kepentingan agama demi untuk diri sendiri dalam memperjuangkan parti,” katanya.
Beliau berkata kerajaan yang memerintah negara pada masa depan perlulah kerajaan yang berwibawa, kuat dan bijak.
“Kerajaan pada hari ini tidak bertegas pada banyak perkara, kita seolah-olah mahu orang memuji kita sebab kita tidak mahu dihentam.
“Seperti yang berlaku pada (pilihan raya umum) 2008, kita (kerajaan) tidak mendapat sokongan, sebab rakyat tidak yakin dengan kerajaan yang ada dan faktor itu telah membuatkan kita menjadi lemah,” katanya.
Beliau berkata apabila kerajaan menjadi lemah, secara tidak langsung kerajaan akan takut kalah sebab tidak mahu hilang kuasa.
“Contoh ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), apa yang kita malu sangat dengan ISA, kita masuk orang dalam tahanan tetapi kita masih ikut undang-undang…ada kerajaan negara luar yang lagi zalim, tahan orang tanpa ikut undang-undang pun…kenapa kita tak sanggup tegur orang yang lebih zalim dari kita,” kata Dr Mahathir.