Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menghargai lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza dan menyifatkannya sebagai langkah berani dan lawatan cukup “bersejarah”.
“Lawatan yang cukup bermakna ke Palestin ini – yang julung kalinya oleh seorang Perdana Menteri Malaysia – menyumbang ke arah meruntuhkan kepungan politik ke atas Semenanjung Gaza dan memperkukuh perjuangan dan tentangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air dan hak mereka,” kata PCOM dalam satu kenyataan di sini Isnin.
Ia menegaskan Malaysia sentiasa mendahului dalam tindakan menyokong perjuangan Palestin menerusi NGOnya dan juga mencetuskan era baru hubungan Palestin-Malaysia dan membuka ruang untuk sokongan politik lebih besar dari kementerian-kementerian, parti dan badan-badan di Malaysia.
“Sehubungan peristiwa ini, kami menggesa semua kerajaan yang adil mengikuti jejak langkah Malaysia dengan terus menyokong perjuangan Palestin dan mengamalkan pendirian yang bersifat menyokong perjuangan yang adil di platform antarabangsa,” katanya.