ALOR SETAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pemimpin Umno di Kedah memastikan gerak kerja dilakukan secara sistematik dan meningkatkan lagi usaha sedia ada menjelang pilihan raya umumke-13 (PRU-13).
Perdana Menteri turut menekankan pentingnya setiap pemimpin bersatu padu dan tidak lagi ada pihak tidak memberi fokus kepada pilihan raya.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipahberkata perkara itu ditegaskan Najib dalam pertemuan dengan Badan PerhubunganUmno Negeri Kedah di Bangunan Tunku di sini sempena lawatan beliau ke Kedah hariini.
Pada pertemuan itu, pemimpin Umno Kedah juga menyatakan komitmen penuh dan memberi sokongan kepada keputusan Perdana Menteri dalam soal calon dan gerak kerja parti, katanya kepada pemberita di sini Khamis.
“Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Kedah akujanji berusaha habis-habisan dalam usaha membawa kemenangan kepada BN Kedah. Pertemuan itu berjaya memberi fokus kepada parti dan para pemimpin mendapat satu suntikan semangat baharu daripada Perdana Menteri”.
Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu Datuk Mohd Johari Baharom berkata dalam pertemuan itu, Najib selaku Presiden Umno juga meminta tumpuan kepada pengundi dipertingkatkan.
Katanya Perdana Menteri meminta pemimpin Umno negeri berjumpa seberapa ramai pengundi menjelang PRU-13 tidak kira pengundi lama atau pengundi baharu.
“Perdana Menteri mahu jentera pilihan raya bersiap sedia sepenuhnya. Beliau nampak yakin yang Umno dan BN boleh menang pada pilihan raya nanti,” katanya.
Ketua Umno Bahagian Sik Datuk Mohd Tajuddin Abdullah berkata pertemuan hari ini diadakan untuk Perdana Menteri melihat sendiri kesiapsiagaan Umno Kedah dalam menghadapi pilihan raya umum.
“Sebenarnya di Kedah semuanya dah hampir siap sedia. Hanya tinggal sikit-sikit dan faktor semasa. Perdana Menteri banyak tekankan mengenai jentera. Ini kerana keadaan ketika ini menyebelahi kita (BN) terutama dengan usaha “Janji Ditepati”.
“Dalam masa yang singkat beliau (Perdana Menteri) dapat buat macam-macam transformasi dan jika diberi mandat lagi, banyak lagi yang boleh dibuat,” katanya.
Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah Datuk Latt Shariman Abdullah berkata Perdana Menteri turut meminta supaya kerja-kerja di peringkat peti undi diperkemaskan.
“Masa dah makin hampir. Kita yakin untuk merampas kembali Kedah. Ini kerana rakyat boleh melihat rekod kita dan rekod parti pembangkang,” katanya.
Ketua Umno Bahagian Pokok Sena Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata Perdana Menteri turut meminta pemimpin Umno supaya mendekati pengundi muda dan pengundi yang tinggal di luar negeri ini.