Gelombang kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab telah membuka jalan kepada penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan baharu yang gagal menghormati kebebasan bersuara dan beberapa hak asasi lain.
Menurut Human Rights Watch (HRW) dalam laporan tahunannya semalam, turut menggesa supaya kerajaan baharu seperti di Mesir, Libya dan Tunisia membina demokrasi dalam erti kata yang ‘sebenar’.
HRW yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) itu menambah, meskipun kerajaan baharu di negara itu dipilih secara demokrasi, tetapi mereka tidak mempunyai mandat untuk mengendahkan hak-hak asasi kemanusiaan.
“Sudah hampir dua tahun kita melihat beberapa pemimpin diktator di Asia Barat dan Afrika Utara digulingkan, tetapi setakat ini, tindakan itu masih tidak membawa perubahan positif, malah kebimbangan meningkat bahawa situasi akan menjadi lebih sukar,” kata Pengarah Eksekutif HRW, Kenneth Roth kepada wartawan di London.
Roth yang melancarkan laporan tahunan HRW bagi hak asasi manusia di seluruh dunia berkata, kebangkitan rakyat di negara Arab menyebabkan berlakunya ‘kebangkitan parti Islam yang mengancam menggunakan agama untuk menafikan hak wanita atau golongan minoriti’.
HRW berkata, Mesir contohnya masih dibelenggu dengan krisis politik selepas dua tahun kebangkitan rakyat yang berjaya menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak dan berdepan masalah hak asasi serius yang berterusan, termasuk penindasan dan penderaan seksual terhadap wanita.
Kumpulan itu turut menyuarakan kebimbangan berhubung Perlembagaan baharu Mesir yang didakwanya mengandungi ‘kecacatan’ dari segi hak kepada wanita, kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan rakyat memantau tentera.
“Pada dasarnya, menggulingkan pemimpin diktator lebih senang daripada mendapatkan pengganti yang menghormati demokrasi,” ujar Roth.
HRW turut memberi amaran, beberapa negara Arab lain turut mengawal dengan ketat kebebasan untuk rakyatnya bersuara.