GEORGE TOWN: Pengunjung yang hadir di majlis jamuan Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baharu Cina melahirkan rasa teruja untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bersama-sama memeriahkansambutan Tahun Baharu Cina di Padang Kolej Han Chiang di sini Isnin.
Majlis yang dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN) Negeri Pulau Pinang itudihadiri lebih 80,000 pengunjung dan kebanyakan yang ditemui memberitahu merekakeluar rumah awal pagi bagi mengelakkan tersekat dalam kesesakan lalu lintas danterlepas peluang meraikan sambutan Tahun Ular bersama dengan pemimpin NomborSatu negara itu.
Tang Poh Chong, 48, seorang pekerja swasta yang ditemui berkata beliau dan keluarganya mengambil peluang untuk berjumpa lebih dekat dengan perdana menteri yang selama ini hanya ditonton di televisyen sahaja.
“Saya harap dapat bersalaman dengan perdana menteri, semalam pun anak saya Tang Chuen Zhe, 10, tidak boleh tidur kerana tidak sabar untuk berjumpa dengan perdana menteri hari ini,” katanya.
Beliau yang tinggal di Kulim, Kedah berkata semangat 1Malaysia dan perpaduan juga dapat dirasai pada majlis sambutan kali ini dan gembira kerana turut berpeluang beramah mesra dengan kaum lain.
Majlis jamuan itu dimulakan dengan persembahan kebudayaan masyarakat Cinadan nyanyian serta diselangi dengan persembahan video klip Tahun Baharu Cinayang menunjukkan penampilan khas perdana menteri dengan memalu gendang tradisional Cina.
Seorang lagi pengunjung yang ditemui T.Oormiladhevi, 20, seorang pelajarkolej swasta juga melahirkan rasa gembira kerana berpeluang bertemu perdana menteri pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
“Saya datang dengan ibu saudara K.Hemamalani, 39, dan ahli keluarga lain,sangat gembira kerana dapat berjumpa dengan perdana menteri, sambutan ini jugasangat meriah, rasa seronok sangat,” katanya.
Seorang suri rumah, Che Zaharah Din, 56, gembira kerana dapat merasakan semangat 1Malaysia dan perpaduan antara kaum pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina.
“Mak cik datang dari Sungai Petani, rasa seronok sangat sebab nak jumpa perdana menteri. Suasana hari ini pun meriah dapat rasa semangat perpaduan antara kaum,” katanya yang hadir ditemani suami dan tiga orang anak.
Katanya sempena cuti hujung minggu yang panjang ini juga beliau dan keluargamengambil kesempatan untuk mengunjungi kenalan berketurunan Cina serta melawat tempat-tempat menarik di sekitar Pulau Pinang.
Najib yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor memulakan lawatan ke Pulau Pinang sejak semalam dan antara majlis yang dihadirinya ialah Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama media Pulau Pinang.