SEMPORNA – Penyanyi berbangsa Dusun, Jimmy Palikat yang mempopularkan lagu etniknya, ‘Anak Kampung’ disifatkan lebih besar jasanya berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianugerahkan gelaran Huguan Siou yang bermaksud pemimpin agung dalam kalangan etnik Kadazandusun Murut (KDM) Sabah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, gelaran itu hanya khusus untuk pemimpin tertinggi KDM sahaja dan beliau secara sinis mempersoalkan bila masanya Ketua Pembangkang itu menjadi sebahagian daripada etnik terbesar di Sabah itu.
“Ini merupakan helah dan gimik politik mereka semata-mata. Apa jasa dan perjuangan Anwar untuk daulatkan etnik KDM di negeri ini. Saya percaya orang KDM amat bijak untuk menilai siapa sebenarnya yang banyak membantu mereka selama ini.
“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lebih besar jasanya berbanding Anwar, malah Najib bukan sahaja membela nasib KDM tetapi seluruh rakyat di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengulas tindakan Parti Keadilan Rakyat Cabang Ranau semalam yang menganugerahkan gelaran Huguan Siou Malaysia kepada Anwar semasa pemimpin itu melawat Kampung Paginatan, Ranau dekat sini.