KUALA LUMPUR – Rakyat terutama pengundi-pengundi di Selangor perlu lebih berwaspada supaya tidak lagi terpengaruh serta tertipu dengan ‘politik palsu’ pakatan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 .
Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamad berkata, rakyat perlu menilai segala janji yang terkandung dalam manifesto pakatan itu pada PRU 2008 sebagai petunjuk prestasi utama ataupun KPI politik terutama melibatkan dua keputusan mahkamah baru-baru ini.
“Keputusan mahkamah berhubung isu air dan elaun ibu tunggal baru-baru ini perlu dijadikan petunjuk sejauh mana janji pada PRU 2008 sudah ditunaikan atau sekadar janji di atas kertas yang hanya mahu mendapatkan undi bagi merebut kuasa,” katanya.
Katanya, kerajaan pakatan DAP-PKR-Pas tidak ikhlas sehingga rakyat bangkit menyaman mereka.
“Bagi kerajaan negeri Selangor, mereka hanya mahu mempertahankan kuasa politik dengan apa cara sekalipun. Apabila rakyat dan BN bersuara, mereka akan menggunakan pelbagai alasan remeh-temeh untuk menafikannya. Inilah cara mereka, tidak ada tindakan proaktif dan praktikal untuk menangani isu rakyat,” katanya seperti dilaporkan The Malaysian Times (TMT).
Beliau mengulas mengenai perkembangan politik negeri Selangor selepas keputusan mahkamah baru-baru ini.
Pada 5 Februari lalu, kerajaan Selangor dan Tan Sri Khalid Ibrahim gagal mengetepikan saman 711 pengguna air negeri itu atas dakwaan tidak menunaikan janji dalam manifesto pakatan pembangkang pada PRU 2008.
Sebelum itu, pada 23 Januari, Mahkamah Tinggi turut mengetepikan permohonan kerajaan negeri dan Khalid terhadap saman 2,020 ibu tunggal atas dakwaan tidak memberi elaun seperti dijanjikan.
Mohd. Zin yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor berkata, sejak pakatan berkuasa di Selangor, rakyat boleh melihat dan membuat pertimbangan secara adil mengenai sikap dan tindak tanduk mereka dalam menangani isu rakyat serta segala janji yang terkandung dalam manifesto.
“Manifesto merupakan satu manifestasi rakyat yang dibentuk untuk mendapatkan mandat daripada rakyat pada setiap pilihan raya umum. Justeru, segala janji yang diberikan kepada rakyat menerusi manifesto perlu ditepati.
“Apa yang berlaku di Selangor merupakan satu contoh yang terbaik untuk rakyat di seluruh negara supaya lebih berwaspada dan tidak terpengaruh lagi dengan janji politik palsu pakatan pembangkang pada PRU ke-13 nanti,” katanya.
Mohd. Zin juga berkata, BN Selangor akan meneruskan kempen penerangannya bagi memberi gambaran ‘kisah benar’ mengenai prestasi pakatan pembangkang khususnya dalam isu air, sistem penyampaian, isu sampah serta konflik politik pakatan.