KUALA LUMPUR: DAP bercadang mahu bertanding lebih 150 kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang dengan kempen perbelanjaan dianggarkan RM15 juta.
Timbalan Pengerusinya, Tan Kok Wai, berkata senarai calon parti itu sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan selepas pembubaran Parlimen.
Beliau berkata, parti itu akan mengumumkan manifesto pilihan raya, Isnin ini, di venue yang belum ditentukan.
Tan yang juga Pengerusi Biro Pilihanraya Kebangsaan DAP berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran kempen mengutip dana parti itu di sini, hari ini.
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN akan dipertandingkan pada PRU-13.
Pada PRU 2008, DAP bertanding 49 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN dan memenangi 28 kerusi Parlimen dan 63 kerusi DUN