KUALA LUMPUR — Ketika negara berdebar menanti detik pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13, pakatan pembangkang pula dilihat semakin terdesak mempengaruhi rakyat dengan strategi putar belit mereka.
Bermula daripada isu konsep 1Malaysia yang didakwa diciplak daripada konsep One Israel, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mendakwa Malaysia hampir muflis hingga rakyat terabai dan menderita.
Pembohongan itu dibidas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjelaskan negara mempunyai sumber yang banyak serta pendapatan yang besar.
Melalui strategi putar belit itu juga, pakatan pembangkang terus menyemai persepsi negatif terhadap usaha-usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat, demikian kupasan beberapa penganalisis politik dan pakar akademik kepada Bernama di sini.
Penganalisis politik Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata istilah ‘logik songsang’ yang diamalkan pembangkang, mencerminkan kerakusan mereka dalam memainkan sesuatu isu dengan melakukan perkara klise seperti fitnah.
“Rakyat perlu faham sifat pembangkang yang sebenar, mereka sangat bijak dalam memanipulasi atau mengubah sesuatu yang logik kepada tidak logik demi mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata pembangkang sanggup bermain dengan psikologi rakyat dan mengeluarkan hujah yang mengelirukan hingga mengubah serta meracuni persepsi rakyat terutama kepada pengundi atas pagar.
“Pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) misalnya, Nik Aziz (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) menyamakan penerima bantuan sebagai haiwan…ini adalah mainan psikologi dia untuk timbulkan rasa kesal rakyat yang menerima bantuan itu.
“Sedangkan dahulu Nik Aziz sendiri pernah cakap ‘Orang bagi kain ambil, nak bagi berapa pun ambil tetapi bila mengundi, undi bulan,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya bijak menilai dan tidak percaya sepenuh dengan taktik pembangkang.
Nik Aziz dalam ceramahnya di pintu Stadium Kota Baharu, Kelantan sekembalinya dari Arab Saudi baru-baru ini, mengkritik keras pemberian bantuan seperti BR1M dan lain-lain oleh Kerajaan Persekutuan.
Mursyidul Am PAS itu menyamakan pemberian BR1M tersebut seperti memberi hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu.
Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata pembangkang tidak wajar memutar-belit isu bantuan tersebut semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat.
Katanya konsep bantuan seperti BR1M dan baucar buku 1Malaysia adalah sama dengan prinsip kerajaan kebajikan yang diuar-uarkan pakatan pembangkang sekiranya mereka mentadbir negara.
“Mereka (pembangkang) kata negara kebajikan mereka nanti akan hapuskan tol, jadi apa bezanya. Kerajaan BN terus beri bantuan kepada golongan sasaran yang memerlukan bantuan,” katanya.
Mohamed Mustafa berkata tindakan Nik Aziz yang menyamakan penerima BR1M sebagai haiwan merupakan satu penghinaan kepada rakyat, terutama kepada yang berpendapatan rendah.
Dalam pada itu, anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin mendakwa Nik Aziz juga pernah beberapa kali memberi wang tunai kepada orang ramai semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan.
“Jadi kalau rakyat yang menerima bantuan dipanggil ayam dan lembu, apakah panggilan yang layak diberi kepada Nik Aziz?
“Inilah politik flip-flop dan cakap tak serupa bikin daripada Nik Aziz. Bila dia buat semua halal dan Islamik belaka, orang lain buat semua haram dan tidak syarie saja,” katanya dalam entri blog beliau bertajuk “Politik Haiwan” di zul4kulim.blogspot.com.
Pengerusi Rancangan Sains Politik Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia, Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid pula berkata cara pembangkang yang sering memanipulasi satu-satu isu sebenarnya mahu menyembunyikan kelemahan dan keburukan mereka sendiri di mata rakyat.
Beliau berkata kerajaan tidak perlu melayan kerenah pembangkang itu supaya tidak terperangkap dengan agenda politik mereka.