GEORGE TOWN: Seorang jurutenik komputer didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu terhadap pertuduhan menipu tiga wanita melibatkan wang tunai dan barangan berharga bernilai RM78,000.
K.K. Prabaharan, 45, berasal dari Ipoh, Perak mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menipu itu, yang didakwa melakukan kesalahan itu antara Oktober dan Disember tahun lepas.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, dan sebatan serta denda.
Dalam satu laporan pada 15 Januari, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslen Chik berkata, lelaki itu yang mendakwa dirinya seorang doktor di laman Facebook milknya akan memperdaya wanita dengan bersembang dengan mereka secara rawak.
Roslee berkata, antara nama yang digunakan oleh kasonova itu dalam laman sosial tersebut ialah Dr Shiva Nair, Dr Ragunathan Nair Krishanan, Dr Ragunanthan, Ragu dan Keeran Raj.
Majistret, Norhayati Ibrahim menetapkan 16 April untuk sebutan semula kes dan ikat jamin dikenakan RM20,000 dengan tiga penjamin.
Prabaharan diwakili oleh peguam Md Yusuf Md Idris.