KUALA LUMPUR — Pengamal media sosial perlu bersikap lebih matang dan bertanggungjawab apabila menggunakan kemudahan baharu itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sambil menyatakan sikap optimistik beliau terhadap media sosial dan kesannya terhadap masyarakat, Najib berkata adalah sesuatu yang menyedihkan sekiranya media sosial tidak terikat langsung dengan sebarang etika.
Kata beliau etika dan tanggungjawab yang datang bersamanya (media sosial) adalah sama pentingnya bagi masyarakat dalam memanfaatkan kepentingannya.
“Adalah sesuatu yang menyedihkan sekiranya tidak wujud sebarang etika dalam konteks media sosial ini,” kata Najib pada Minggu Media Sosial Malaysia anjuran Dewan Media Sosial (SMC) Malaysia di sini Rabu.
Acara itu turut dihadiri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan pengasas, yang juga presiden Dewan Media Sosial Malaysia Shahul Hameed Shaik Dawood.
Najib berkata bulan-bulan yang akan datang merupakan tempoh yang menarik bagi mereka yang meminati politik dan Internet.
Perdana Menteri berkata beliau yakin pilihan raya kali ini akan merupakan “pilihan raya media sosial” pertama bagi Malaysia.
“Kita dapat melihat betapa ia bertindak sebagai pemangkin bagi ahli politik untuk berurusan secara dalam talian dan sebenarnya ini adalah sesuatu yang baik.
“Memanglah, ia bukan merupakan faktor paling besar pada pilihan raya ini, tetapi, yang pasti, ia akan memberi tempo kepada perbahasan politik dan mengundang lebih banyak orang untuk bersuara melaluinya,” kata beliau.
Najib berkata, sebenarnya, adalah menjadi sebahagian daripada hasrat dan tanggungjawab beliau sebagai perdana menteri untuk memikirkan tentang seluruh negara dan memastikan seramai mungkin rakyat mempunyai akses terhadap peluang yang dibawa oleh media sosial – “bukan saja kepada kita yang ada di dalam dewan ini.”
Katanya adalah tidak wajar bagi kerajaan membiarkan sebahagian anggota masyarakat berada di sebelah “jurang digital” yang merugikan mereka, terputus daripada menikmati manfaat besar dalam bidang pendidikan dan perusahaan pada zaman moden ini.
“Kami sedang berusaha untuk memastikan perkara itu tidak berlaku, melalui inisiatif seperti Digital Malaysia, menawarkan baucer telefon pintar kepada golongan muda dan meluaskan akses jalur lebar di kawasan luar bandar.
“Saya mahu semua rakyat Malaysia bersiap sedia untuk menghadapi masa depan yang sedang datang dengan begitu pantas sekali,” katanya.
Najib berkata media sosial merupakan satu kuasa besar yang mewujudkan keterbukaan dan kerajaan juga tidak terkecuali daripada mengamalkannya.
Kata Perdana Menteri sebab itulah beliau berusaha untuk berkomunikasi melalui platform paling baharu dan melalui cara paling relevan seperti Belanjawan, beliau cuba melaksanakan tugas secara berlainan daripada biasa dengan melancarkan perundingan secara dalam talian, di mana beliau mempelawa orang ramai mengemukakan idea mereka dan pada waktu yang sama memberi pertimbangan terhadap pendapat lain.
“Oleh itu, bagi kerajaan, sama seperti syarikat perniagaan, teknologi bererti cara baharu melakukan sesuatu. Bagaimanapun, kuasa untuk mendekati khalayak baharu, membawa tanggungjawab baharu juga; bersikap lebih terbuka dan bertanggungjawab.
“Rakyat, terutama ‘pribumi digital’, yang membesar bersama Internet, kini mempunyai harapan lebih tinggi tentang keterbukaan dalam semua hal kehidupan,” katanya.
Sebab itulah, kata beliau, semua anggota Kabinet perlu menggunakan media sosial dan begitu juga halnya dengan calon daripada parti yang beliau terajui.