Semangat anggota polis dan tentera yang menyertai ‘Ops Daulat’ untuk menghapuskan pengganas asing bersenjata dari Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah terus membara berkat sokongan dan dorongan kuat seluruh rakyat Malaysia, demikian diumumkan hari ini.
Dalam sidang video dengan editor kanan media dari Lahad Datu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, anggota polis dan tentera yang menyertai operasi itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ismail berkata, anak buahnya mendapat semangat daripada sokongan yang dipamerkan orang ramai terhadap usaha mereka memburu pengganas berkenaan.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd. Zin pula berkata, selain semangat tinggi yang ditunjukkan anggota tentera, seperkara lagi yang begitu membanggakan ialah kerjasama erat yang terjalin antara pasukan polis dan tentera dalam operasi pembersihan di Kampung Tanduo melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Sejak dua tahun lepas, polis dan tentera melaksanakan beberapa inisiatif melalui NBOS.
Dalam gerakan menghapuskan penceroboh bersenjata itu, lapan anggota polis terkorban akibat serang hendap di Kampung Tanduo dan di Kampung Simunul, Semporna pada Jumaat dan Sabtu.