Sejak dari pagi tadi, semua rakyat Malaysia berada dalam keadaan yang mendebarkan dan cemas menantikan perkembangan terkini berhubung tindakan ke atas kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu. Masing-masing tidak berhenti berdoa dan amat mengharapkan agar tiada lagi anggota keselamatan yang bakal terkorban. Tambah menarik tumpuan, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan rasmi semalam, berhubung tindakan pasukan keselamatan yang telah melancarkan serangan di Kampung Tanduo.
Walaupun rata-rata merasa lega dan gembira atas keputusan tersebut, namun kita sedar ia merupakan satu keputusan yang sukar oleh kerajaan Malaysia. Ini kerana sejak bermulanya episod pencerobohan ini, pihak kerajaan telah mencuba sedaya upaya agar dapat menyelesaikan konflik ini tanpa berlaku sebarang pertumpahan darah.
Ia dibuktikan dengan beberapa siri pertemuan dan rundingan yang diadakan dengan harapan para penceroboh bersetuju untuk keluar dengan aman. Namun seperti kata pepatah, madu yang dihulur oleh pihak kerajaan dibalas dengan racun, bilamana kumpulan penceroboh bertindak untuk memulakan serangan sehingga mengorbankan 8 orang pegawai dan anggota keselamatan negara.
Susulan dari itu, kerajaan terpaksa mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut oleh rakyat. Mengikut perkembangan terkini yang diperolehi dari laman sosial PDRM, mengesahkan tiada anggota keselamatan yang terbunuh atau cedera dalam serangan ofensif yang dilakukan itu.
Ternyata kepercayaan yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia terhadap PDRM dan ATM selama ini tidak sia-sia. Oleh yang demikian, semua anggota keselamatan yang telah menjalankan tugas sepanjang tragedi ini wajar dinobatkan sebagai perwira negara. Ini kerana jasa dan pengorbanan mereka amatlah besar dalam memastikan rakyat terus mampu mengecapi keamanan di negara yang bertuah ini.
Tidak dilupakan juga, salam takziah kepada seluruh kaum keluarga mereka yang telah terkorban sepanjang operasi ini berlangsung. Sesungguhnya majoriti rakyat Malaysia amat bersimpati dan turut merasai kesedihan mereka ketika ini, dan percayalah pengorbanan perwira negara ini bukanlah satu pengorbanan yang tidak sia-sia. Ia akan tetap dikenang dan tercoret dalam lipatan sejarah negara untuk tatapan generasi akan datang.
Namun apa yang menyedihkan, masih terdapat sekelompok kecil masyarakat di negara ini yang biadap dan tidak berterima kasih malah sanggup mencemuh serta menghina para perwira negara ini. Sedangkan pada ketika ini, semua lapisan masyarat perlu bersatu hati untuk memberikan sokongan moral kepada para perwira negara agar terus kuat dan bersemangat dalam mempertahankan kedaulatan negara ini.
Kesimpulannya ayuh semua rakyat Malaysia, kita ketepikan seketika ideologi politik dan permusuhan sesama sendiri, kerana apa yang penting ketika ini ialah perpaduan antara kita. Buat perwira negara sekali lagi diucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan pengorbanan yang diberikan ini.
Bersatu kita teguh, Bercerai kita runtuh.