Generasi muda yakin kebolehan dan keupayaan pasukan keselamatan Malaysia dalam menangani insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina di Sabah.
Bagaimanapun kata mereka, tanggungjawab mempertahankan tanah air tidak terletak pada bahu pasukan keselamatan atau pemimpin negara semata-mata, tetapi tanggungjawab seluruh rakyat.
Bagi Dr Ziyad Kamal, 27, dari Jabatan Obstetrik & Ginekologi Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan, rakyat Malaysia perlu bersatu padu dan berdiri teguh di belakang kerajaan dalam menghadapi krisis genting itu.
“Peristiwa di Lahad Datu merupakan satu insiden yang cukup besar bagi sejarah di Malaysia. Malaysia pernah melalui peristiwa hitam seperti penjajahan komunis dan krisis kegawatan ekonomi. Malaysia berjaya membuktikan kepada dunia bahawa negara mampu menyelesaikan masalah dengan cara kita sendiri,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Ezaruddin Abd Rahman pula berkata tindakan kerajaan harus dipuji kerana tidak bertindak secara terburu-buru dan mengamalkan diplomasi apabila cuba menyelesaikan krisis itu melalui rundingan terlebih dahulu.
“Dalam menghadapi serangan musuh, pihak keselamatan juga bersikap sangat berhati-hati dalam menyelesaikannya dengan secepat mungkin dan mengambil pendekatan berhemah dengan cuba sedaya upaya mengelakkan pertumpahan darah,” katanya.
Beliau berkata rakyat juga perlu bijak menilai tindakan kerajaan kerana krisis itu bukan satu perlawanan bola sepak yang menghasilkan keputusan segera, tetapi satu isu membabitkan soal kedaulatan dan keselamatan negara.
Sementara itu, wartawan Beboshini Unni, 25, pula berkata beliau tidak pernah meragui kebolehan dan kredibiliti anggota keselamatan di Malaysia dalam memberi jaminan kepada keselamatan dan ketenteraman awam.
“Saya mendoakan semoga kemenangan berpihak kepada kita. Saya amat bangga dengan kecekapan pihak PDRM dan memuji tindakan dan strategi yang digunakan anggota keselamatan dalam menangani isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah,” katanya.
Jurutera elektrik Tu Li Phen, 26, berkata kemampuan pasukan keselamatan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menangani insiden luar jangka membuktikan kewibawaan mereka dalam mempertahankan negara.
“Kita boleh lihat pasukan polis dan tentera kita bekerja dengan baik melancarkan serangan balas,” katanya.
Bagi Ili Farhana Mohamed Noor, 25 operator syarikat telekomunikasi, beliau bangga apabila mendapat tahu semakin banyak anggota pengganas tumbang di tangan pasukan keselamatan negara.
“Namun kalau boleh jangan ada lagi melibatkan pengorbanan nyawa dan pertumpahan darah di kalangan pasukan keselamatan,” katanya.
Lulusan undang-undang Indrani Vijian, pula berkata beliau begitu terharu melihat pengorbanan anggota keselamatan begitu komited dalam menjaga keselamatan dan keharmonian negara, tanpa menghiraukan keselamatan diri.
“Saya berharap orang ramai tidak mempolitikkan isu ini kerana ini melibatkan martabat negara. Setiap situasi harus dikendalikan secara berhemah dan berdiplomasi,” katanya.
Indrani juga berkata anak buahnya yang berumur antara empat dan tujuh tahun turut teruja melihat ketabahan pasukan keselamatan, dan berdoa agar kesemua mereka dapat pulang dengan selamat setelah berjaya menawan musuh.
Mazwan Izaidi, 24 berkata pengorbanan anggota pasukan keselamatan terbabit tidak dapat dinilai dengan harta benda kerana mereka mempertaruhkan nyawa sendiri.
“Langkah awal kerajaan menggunakan pendekatan rundingan dan diplomasi adalah tepat memandangkan negara kita amat cintakan keamanan dan membenci sebarang bentuk keganasan dengan harapan penceroboh dapat beredar tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” kata penuntut sebuah universiti tempatan itu.