KOTA KINABALU — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan persekutuan menimbang kemungkinan memberi bantuan wang ehsan kepada masyarakat tempatan yang terjejas akibat insiden pencerobohan militan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.
Perdana Menteri berkata ia merupakan langkah yang boleh diambil oleh kerajaan persekutuasn bagi meringankan bebanan penduduk Sabah yang tinggal berhampiran dengan kampung itu.
“Saya difahamkan punca pendapatan ramai masyarakat tempatan terjejas termasuk nelayan yang tidak dapat turun ke laut kerana kawasan mereka diancam oleh kumpulan penceroboh,” katanya semasa mengadakan sidang video dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di sini, Isnin.
Persidangan video diadakan di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, di sini, sejurus Najib menyempurnakan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13 di Putrajaya.
Persidangan tersebut, yang disaksikan oleh kira-kira-kira 1,000 penjawat awam di sini, turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan barisan menteri kabinet negeri.
Najib berkata cadangan pemberian bantuan atau wang ehsan itu sudah dibincangkan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan melawat Sabah esok.
Perdana Menteri turut mengulangi pendirian kerajaan bahawa soal keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah Sabah tidak akan dikompromi dan yakin krisis pencerobohan itu dapat diatasi dengan kerjasama erat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
Terdahulu pada majlis itu, Musa berkata penjawat awam di Sabah akan terus menyokong dan mendokong usaha transformasi yang diperkenalkan oleh perdana menteri.
“Komitmen ini adalah selari dengan etika perkhidmatan awam dan sebagai asas penting yang menjadi sumber kekuatan dan menjaga integriti perkhidmatan awam,” katanya.