Lahad Datu, 16 Mac – Pihak keselamatan negara akan mengumpulkan bukti yang cukup sebelum mencari kaedah mengekstradisi ketua pengganas dari Sulu Azzimudie Kiram atau Agbimuddin dari Filipina dan dibicarakan di negara ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam, Azzimudie yang mengetuai pencerobohan bersenjata di Lahad Datu dipercayai sudah berada di Filipina.
“Pada hemat saya, kalau dia berada di sana pun kita tidak menghadapi masalah sebab kita sudah menjalankan siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ke atas mereka yang ditahan.
“Jadi, kita akan kumpulkan bukti, seterusnya menggunakan saluran perundangan untuk kita ekstradisi Azzimudie bagi menghadapi pertuduhan di negara kita,” katanya pada sidang akhbar di Felda Sahabat, dekat sini hari ini.