BAGAN DATOH 16 Mac – Saki-baki kumpulan pengganas Sulu yang dikepung di kawasan kecil di Lahad Datu, Sabah dilaporkan berada dalam keadaan moral terlalu rendah dan kebuluran setelah ditinggalkan ketua mereka, Azzumudie Kiram yang melarikan diri ke selatan Filipina.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kumpulan pengganas itu juga semakin terdesak apabila masyarakat berketurunan Sulu di Sabah tidak menyokong tindakan mereka menyerang negeri itu.
Katanya, ini bermakna kumpulan pengganas itu juga tidak mendapat bantuan bekalan makanan, maklumat dan sokongan moral daripada masyarakat Sulu di Sabah.
“Saya ingin memaklumkan pihak musuh sekarang ini sudah terlalu terdesak kerana mereka dikepung di kawasan yang kecil dan juga kebuluran kerana tidak mendapat bekalan makanan.
“Perkembangan terakhir ini menyebabkan mereka terlalu terdesak sehingga mahu melakukan beberapa tindakan termasuk mencuri makanan di rumah kosong dan kedai makan. Kita harap masyarakat setempat lebih berhati-hati kerana orang kebuluran akan menjadi lebih agresif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sebanyak 120 unit komputer untuk sekolah-sekolah terpilih di seluruh Perak di sini hari ini.