SEREMBAN 16 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa terharu dengan semangat dan nilai patriotisme yang ditunjukkan masyarakat Cina di negeri ini apabila sama-sama bersimpati dan prihatin dengan pengorbanan pasukan keselamatan yang sedang menangani pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.
Kata Perdana Menteri, sikap itu menunjukkan bahawa masyarakat Cina juga turut terkesan dengan apa yang berlaku di Sabah dan mereka mahu bersama-sama terlibat dalam soal menjaga keselamatan negara yang dicintai ini.
“Siapa kata masyarakat Cina tidak sayang kepada negara. Siapa kata orang Cina tidak patriotik kepada negara. Malam ini sahaja sudah membuktikan bahawa soal keselamatan dalam negara dan kedaulatan mereka tidak membezakan antara kaum, agama dan budaya. Asalkan kita rakyat Malaysia, kesannya dirasai bersama,” kata beliau.
Najib berucap di hadapan lebih 35,000 masyarakat Cina dan orang ramai yang hadir dalam majlis Makan Malam Perdana Menteri Bersama Masyarakat Cina Negeri Sembilan di jalan raya dan padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini malam ini.
Kata Najib, beliau berbangga apabila lebih 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina telah menyumbang sebanyak RM720,000 ke dalam Tabung Perwira Negara Lahad Datu.
“Ini adalah rekod tertinggi yang dikutip untuk Tabung Perwira Negara Lahad Datu dalam satu majlis makan malam yang kita terima dari persatuan Cina, Kampung Baru, persatuan perniagaan dan penjaja, malahan ada juga sumbangan dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
“Saya amat terharu di atas sokongan masyarakat Cina, khususnya dari negeri ini yang mahu menyokong perwira negara melalui sumbangan wang yang begitu besar. Saya bagi pihak keluarga yang telah terkorban itu, mengucapkan terima kasih,” kata beliau.