KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertimbangkan kenaikan pangkat untuk anggota yang bertugas dalam Operasi Daulat di Sabah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Namun, katanya keputusan muktamad mengenai perkara itu hanya akan diputuskan setelah insiden pencerobohan itu selesai.
“Kenaikan pangkat adalah berpandukan undang-undang yang ada, iaitu mengikut perkiraan tahun perkhidmatan, selain ada perkara lain yang perlu dilihat,” katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.
Sementara itu, Ismail menyelar kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh yang menuduh PDRM menjalankan operasi merampas dan memusnahkan dokumen pengenalan diri masyarakat Suluk di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
“Sekarang ni kita sedang menghadapi satu situasi yang mencabar dan saya tidak ada masa untuk mendengar tuduhan seperti itu dan tidak mahu menjawab,” katanya.
Ismail juga memberi amaran tegas supaya soal keselamatan tidak dipolitikkan dengan dakwaan tidak berasas.
Minggu lepas sebuah portal berita melaporkan Harris mengutus surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya operasi menghapuskan pengenalan diri masyarakat Suluk di Lahad Datu dan Semporna dihentikan.
Laporan mengenai dakwaan tindakan polis mengambil kad pengenalan dan dokumen Imigresen mereka itu dibuat beberapa pemimpin Suluk kepada Harris.