BALING: Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk Zulkifli Nordin hari ini mengakui pernah membuat membuat ucapan yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap agama Hindu tetapi menjelaskan ucapan itu dibuat 10 tahun lalu ketika beliau berada dalam parti PAS.
Beliau yang mengakui kesilapannya itu dan memohon maaf kepada masyarakat Hindu di negara ini mengenai ucapannya itu yang dibuat pada satu ceramah di markas PAS.
Zulkifli yang sudah insaf dengan kesalahannya itu mempersoalkan tindakan parti-parti pembangkang menggunakan ucapan lamanya sewaktu beliau menyokong dan bersekongkol dengan parti-parti pembangkang untuk memburukkan beliau.
“Saya sudah insaf dan meminta maaf kepada masyarakat Hindu sebelum isu itu timbul…saya telah meninggalkan perjuangan dan jawatan dalam PAS yang banyak memesong saya selama ini daripada landasan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Majlis Penggerak PRU-13 Kawasan Parlimen Baling di sini.
Katanya ketika itu beliau merupakan peguam kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat yang melibatkan ketua pembangkang itu. “Saya banyak lakukan kesilapan sewaktu menjadi peguam beliau dan membuat ucapan di mana-mana majlis anjuran PAS dan PKR kerana terlalu taksub dengan matlamat perjuangan kedua-dua parti itu yang akhirnya saya dapati amat jauh terpesong dari landasan sebenar,” katanya.
Katanya sikap terbuka dan rendah diri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sanggup meminta maaf kepada rakyat membuatkan beliau terfikir yang beliau perlu meninggalkan perjuangan yang terpesong itu demi masa depan negara dan rakyat.
Beliau turut meminta masyarakat supaya tidak mengaitkan ucapan lama beliau yang didakwanya telah diputarbelitkan.Mengenai sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), Zulkifli berkata beliau ada menerima beberapa tawaran dan sedang menimbangkannya.
Pada PRU-12, Zulkifli menang di kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu sebagai calon PKR tetapi kemudian menjadi anggota Parlimen Bebas.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Nordin menyifatkan penyebaran video yang mendakwa dirinya bersifat perkauman oleh pembangkang umpama menjerat diri sendiri.
Ia juga membuktikan pembangkang kini terdesak untuk menimbulkan huru hara menjelang pilihan raya umum.
Berucap pada ceramah di Kampung Permatang, Kuala Selangor semalam, Datuk Zulkifli menjelaskan video ketika kuliah agama berkenaan dirakam lebih 10 tahun lalu ketika beliau menyandang jawatan sebagai pemimpin PAS.
Dakwanya PAS pada ketika itu bersifat perkauman yang sangat ekstrem dan video berkenaan adalah bukti sifat PAS yang sebenarnya.
DATUK ZULKIFLI NORDIN / AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BARU
“Mereka sedang berdepan banyak isu, jadi mereka perlu alihkan isu main cerita lama yang sebenarnya pada saya video itu makan mereka balik”.
Tambahnya, video berkenaan disebarkan tanpa penerangan khusus intipati kuliah serta cubaan mengaitkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Perkasa.
Ia bertujuan bagi memburukkan NGO yang menyokong Barisan Nasional itu.
Justeru, Datuk Zulkifli berharap agar tindakan terdesak pembangkang itu dapat dihentikan segera bagi mengelak tercetusnya isu perkauman.