KULIM, 4 April — Polis diminta menjalankan siasatan rapi terhadap bapa Mohd Saiful Bukhari yang dilihat cuba mencemarkan institusi diraja berhubung kes liwat pada Disember 2010.
Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah Khairul Anuar Ramli membuat laporan polis terhadap tindakan Azlan Mohd Lazim yang berniat jahat, tidak bertanggungjawab dan cuba memperolok-olokkan serta mencemarkan institusi diraja.
Beliau mendakwa pada 14 Dis 2010 lalu, Azlan selaku bapa kepada Mohd Saiful Bukhari, yang didakwa sebagai mangsa kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu Tuanku Mizan Zainal Abidin meminta baginda campur tangan supaya mempercepatkan prosiding mahkamah yang telah ditangguh berkali-kali oleh Anwar.
“Konon atas alasan keadilan ke atas anaknya, Saiful Bukhari,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini hari Khamis.
Laporan polis itu berhubung dengan tindakan Azlan yang telah bersikap sebaliknya dengan mendakwa dakwaan terhadap Anwar itu adalah satu konspirasi pada 8 Mac lepas.
“Saya dengan tegas mempertikaikan tindak-tanduk perbuatan biadab Azlan ini dan mendesak dia bertanggungjawab serta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada institusi diraja,” katanya
Turut membuat laporan sama adalah Timbalan Pesuruhjaya Pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Negeri Kedah Saiful Ambar Abdullah Ambar.