Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan antara beberapa pemimpin utama PAS yang tak pernah serik dari mencetuskan kontroversi demi kontroversi gara-gara tutur katanya yang kasar, celupar dan tidak berhikmah.
Tak berapa lama dulu Nik Aziz pernah sibuk menjaja isu syurga dan neraka, seolah-olah dirinya penjaga kunci yang akan menentukan orang yang sokong PAS masuk syurga dan orang UMNO masuk neraka.
Sebelumnya, Nik Aziz dengan selamba menyatakan kesediaan bersahabat dengan syaitan semata-mata untuk menjustifikasikan perlunya hubungan kerjasama PAS dengan DAP.
Terbaru, Nik Aziz yang juga adalah Menteri Besar Kelantan mendakwa orang Islam yang menyokong UMNO tidak akan mendapat pahala meskipun menunaikan sembahyang sebagaimana difardukan dalam Islam.
Alasannya konon kerana UMNO menerima dasar kebangsaan yang ditakrifnya sebagai menolak Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Makin tua makin merapu pula orang tua tak sedar diri yang gila kuasa mahu bertongkat langit sampai mati ini.
Nampak sangat Nik Aziz dah tersesat arah kerana salah memahami maksud kebangsaan mengikut fahaman sempit, tapi peliknya liberalisme dan pluralisme yang berakar umbi dalam PKR sedikit pun tak berani disentuhnya.
Ada pemimpin Melayu yang bersekongkol dalam DAP yang berpegang pada fahaman sosialis, tak pula Nik Aziz pertikaiannya. Mentang-mentang geng sendiri, hipokrit punya manusia bertopengkan agama.
Nik Aziz sebenarnya terdesak nak memainkan semula persepsi yang PAS itu Islam dan Islam itu PAS, menyokong PAS bermakna menyokong Islam dan menolak PAS maka dituduhnya menolak Islam.
Hakikatnya, Nik Aziz tak sedar yang PAS hanyalah sebuah parti politik semata-mata yang tertubuh akibat kekecewaan pemimpin-pemimpin awalnya.
Untuk pengetahuan Nik Aziz, semangat kebangsaan atau nasionalisme yang mendasari perjuangan UMNO merujuk pada wathan (tanah air), Dar al-islam dan Diyar al-islam, maksudnya satu perjuangan mendaulatkan tanah air tanpa mengetepikan ajaran Islam.
Susur galur fahaman yang sama juga yang mendasari kelahiran PAS di zaman Ahmad Fuad yang kemudian diteruskan oleh Burhanuddin Al Helmi dan Asri Muda. Adakah Nik Aziz sanggup mengira pahala dan dosa mereka, atau sebab mereka ini pernah bersama PAS maka terkecuali dari timbang tara Nik Aziz dan PAS?
Orang UMNO yang Nik Aziz kata tak dapat pahala bila bersolat inilah yang sakan berjuang memerdekakan tanah air dan berjuang memajukan ummah untuk bersaing dengan penganut agama lain supaya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.
UMNO ini jugalah yang sibuk berjuang mempertahankan kesucian kalimah Allah S.W.T dari dinodai oleh DAP dan PKR, sedangkan PAS sehingga sekarang gagal mengubah dasar PR supaya kembali menghormati kalimah Allah S.W.T.
Justeru itu, tak usahlah Nik Aziz memesongkan orang ramai tatkala diri sendiri gagal memahami realiti, lebih baik Nik Aziz cermin diri sendiri dan perbetulkan hala tuju PAS yang semakin dekat bergelumang dengan fahaman PR yang liberalisme dan pluralisme, ada juga faedahnya.