TAMBUNAN: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan hari ini menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘Doktor Politik’ atas kebolehan beliau ‘merawat’ masalah negara.
Beliau berkata seperti doktor perubatan, Najib akan mendengar permasalahan yang diajukan kepadanya sebelum mengambil setiap data berkaitan supaya ‘rawatan’ dapat diberikan dengan segera.
“Doktor politik ini kemudiannya membawa data-data ini ke ‘bengkel’ untuk mendapatkan idea-idea termasuk daripada pihak swasta dalam mencari penyelesaian terbaik kepada rakyat,” katanya semasa berucap merasmikan program jelajah Yayasan Sabah di Pisompuruan Square di sini.
Turut hadir pengarah yayasan Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul dan Penolong Pegawai Daerah Tambunan (Pembangunan) Robert Stidi.
Majlis dihadiri kira-kira 5,000 penduduk.
Sehubungan itu, Pairin meminta supaya rakyat Sabah dalam menjalankan kewajipan pada 5 Mei ini untuk tidak melepaskan ‘Doktor Politik’ yang telah berada di dalam genggaman hanya kerana mahu memilih pembangkang yang menjanjikan bulan dan bintang tanpa rekod prestasi cemerlang sebagai ukuran.
Pairin berkata semasa kerajaan sibuk melakukan pelbagai tranformasi kepada rakyat, pembangkang pula bertindak memburuk-burukkan pemimpin negara di laman sosial dalam meraih simpati pengundi.
“Jika dibandingkan, tidak ada kerajaan sebaik Barisan Nasional (BN) yang prihatin dan selalu memberikan pelbagai bantuan.
“Berbeza keadaannya di negeri-negeri ditadbir pembangkang yang tidak tenteram kerana rakyat mereka telah bangkit untuk menuntut pelbagai janji yang tidak ditunaikan berbeza dengan BN yang berpegang kepada (slogan) ‘Janji Ditepati,” katanya.
Pairin yang juga calon BN bagi kawasan Parlimen Keningau dan Dewan Undangan Negeri Tambunan juga yakin parti gabungan itu akan mempertahankan kedua-dua kerusi itu pada pilihan raya umum ini berdasarkan kehadiran masyarakat pada program anjuran parti itu. “Sokongan masyarakat merupakan satu petanda baik kerana menunjukkan penerimaan yang tinggi terhadap program BN, yang setiasa cuba untuk membantu meningkatkan penglibatan rakyat dalam bidang perniagaan, sosial dan pelancongan, sekali gus membolehkan mereka menerima bantuan-bantuan yang dihulurkan kerajaan,” katanya.