Sindiket dadah dan kumpulan penjenayah merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim yang sentiasa komited dalam menjalankan tugasnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan insiden yang menimpa Shaharuddin, 58, berlaku selepas pihak tertentu yang tidak menyenangi penguatkuasaan ketat yang dilakukan oleh jabatannya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata polis tidak menolak teori penglibatan sindiket jenayah dalam kes tersebut tetapi ia masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi.
Shaharuddin meninggalkan rumahnya di Dengkil kira-kira pukul 7.55 pagi Jumaat dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Murano.
Ketika kenderaan dinaiki beliau berhenti di persimpang lampu isyarat untuk menghala ke Lebuh Wawasan-Lebuh Sentosa, kira-kira 20 minit kemudian, dua lelaki menunggang sebuah motosikal menghampiri kereta mangsa dari arah kiri dan melepaskan tiga das tembakan yang dipercayai senjata api jenis automatik.
Shaharuddin yang berasal dari Negeri Sembilan berkhidmat lebih 30 tahun bersama Jabatan Kastam.
Beliau begitu disegani sebagai pembanteras aktiviti dadah dan cukup dikenali kerana komited dalam penguatkuasaan.
Hasil kerjanya membolehkan beliau digelar sebagai seorang yang komited dalam menjalankan tugasnya.
Insiden tersebut berlaku beberapa kilometer dari ibu pejabat polis Putrajaya.
“Salah satu tembakan mengenai leher Shaharuddin. Pemandu mangsa membawanya ke Hospital Putrajaya tetapi beliau disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.20 pagi,” kata Ku.
Beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat sementara bahan bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari bangunan berdekatan turut akan dikumpul.
“Kita harus melindungi kakitangan awam terutama mereka yang cukup berani dalam menjalan tugas berisiko. Saya mengutuk keras insiden ini,” kata Najib pada satu majlis penganugerahan pingat kepada anggota keselamatan yang terlibat dalam Ops Daulat di Lahad Datu dan Semporna di Ipoh, Jumaat.
Ketua Polis Negara berkata, polis akan menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin untuk menyiasat kes tersebut.