Percubaan DAP untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga ke tahap maksimum tidak berjaya walaupun sentimen perkauman menjadi bahan kempen mereka.
DAP melalui Red Bean Army yang bertindak sebagai jenteranya telah melemparkan segala tohmahan dan fitnah terhadap pemimpin BN.
Usaha itu bagi membangkitkan kebencian pengundi Cina terhadap BN walaupun tuduhan yang dilemparkan tersebut, sama sekali tidak benar.
DAP telah berjaya meningkatkan sokongan pengundi Cina pada 2008 dan pada Pilihan Raya Umum Ke-13, mereka sekali lagi mencuba namun tidak berjaya menumbangkan BN.
Kegagalan inilah yang menyebabkan mereka tidak puas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun hakikatnya satu undi memberi kesan kepada sistem demokrasi negara.
Kewujudan pasukan tentera siber DAP yang dikenali sebagai Red Bean Army yang dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama berlakunya tsunami politik pengundi Cina sehingga berlaku trend pengundian berasaskan polarisasi kaum.
Kumpulan seramai 200 orang yang diberi latihan secukupnya oleh DAP serta dibayar gaji tetap sebanyak RM3,000 sebulan sejak enam tahun lalu itu berperanan penting dalam menyebarkan dakyah-dakyah perkauman kepada pengundi bagi menolak BN.
BN juga seperti DAP mempunyai pasukan tentera siber namun tidaklah sampai mencetuskan sentimen perkauman seperti mereka.
Apa yang penting selepas ini kita perlu melakukan ‘brainstorming’ dan kaedah makmal secara terperinci mengikut kawasan dan negeri, selain faktor pengundi Cina yang berpihak kepada DAP, kita perlu kenal pasti lain-lain punca kekalahan.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, DAP sanggup melakukan apa sahaja termasuk membangkitkan sentimen perkauman dalam kalangan pengundi Cina bagi mendapatkan kuasa.
“Saya tidak hairan apabila perkara ini berlaku, memang sudah dijangka mereka akan guna apa jua medium untuk menyebarkan sentimen perkauman seterusnya mencetuskan rasa benci dalam kalangan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN).
“Semuanya dilakukan demi mengejar kuasa. Jika dibiarkan berterusan kita bimbang akan memudaratkan negara dalam jangka masa panjang sekali gus menghalang usaha perpaduan yang dilaksanakan BN sejak dahulu lagi,” katanya.
Tambah beliau, MCA selaku parti komponen termasuk BN perlu mengatur strategi bagi membendung amalan mengundi berdasarkan kaum.
“Kajian perlu dilakukan bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang dalam pilihan raya umum seterusnya,” kata beliau.