Ikatan persahabatan, keluarga dan rumahtangga boleh berakhir jika berlaku salah faham atau hubungan tidak lagi relevan.
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang baharu sahaja berakhir, turut memaparkan bagaimana rapuhnya persahabatan dan hubungan, yang boleh lenyap dalam sesaat akibat berbeza fahaman politik.
Ini adalah suatu perkembangan tidak baik serta harus dipandang serius.
Antara contoh ekstrem akibat perbezaan politik iaitu pada Mac lepas di Bachok, Kelantan, Bekas Timbalan Ketua Keselamatan Pas Kelantan, Shaidi Husin, 45, terpaksa bercerai dengan isteri yang dikahwininya selama 22 tahun kerana isterinya menyertai Umno.
Shaidi berkata, talak ke atas isterinya terjatuh kerana dia tidak mahu melanggar bai’ah Pas selepas isterinya menyertai UMNO kira-kira tiga tahun lepas.
Dilihat semakin banyak persahabatan dan hubungan terputus ketika dan selepas PRU13 menerusi media sosial yang menjadi tempat ‘peperangan’ politik pengikut parti-parti yang bertelagah.
Laman sosial media – Facebook, Twitter, LinkedIn – sepatutnya menjadi landasan untuk membantu menjalinkan persahabatan, tetapi ramai, sama ada diketahui atau tidak diketahui, menggunakan laman itu untuk menimbulkan ketegangan antara kedua-dua pihak yang bertelagah dalam ruang siber.
PENGARUH BESAR MEDIA SOSIAL
Akibat perbuatan yang sekecil itu, sahabat yang dikenali selama bertahun-tahun, yang pernah melalui pengalaman pahit, manis bersama, terus di ‘unfriend’ ‘diblock’, kerana sering berbahas, bagi menegakkan idelogi masing-masing sehingga menimbulkan pergaduhan dan seterusnya terputus hubungan silaturrahim yang dibina.
Pensyarah Kanan Program Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (Komunikasi) Dr Siti Suriani Othman memberitahu Bernama bahawa penggunaan Facebook dan beberapa media sosial lain memang sangat berpengaruh dalam kehidupan masyarakat Malaysia hari ini.
Beliau berkata walaupun asalnya mungkin masyarakat melihat apa yang dipapar dan diucap dalam facebook bukan sesuatu yang ‘berat’, tetapi dengan pengaruh facebook hari ini, ia boleh menjadi punca pergaduhan (atau mungkin juga perdamaian).
“Namun dari segi moralnya, adalah lebih baik agar seseorang individu itu dapat mewujudkan sempadan tentang apa yang tertera dalam media sosial seseorang dengan apa yang difikirkan terhadap individu itu kerana kita perlu maklum bahawa secara psikologinya, media sosial adalah alat seseorang untuk ‘menayangkan dirinya’.
“Ini bermakna, segala unsur tidak jujur boleh dimasukkan dalam ‘posting’ atau sebarang maklumat yang ‘diupload’ oleh seseorang individu berkenaan untuk tujuan riak atau menunjukkan dirinya berkuasa dan lebih baik daripada apa yang kita lihat di dunia realiti,” katanya.
Jika masih juga mahu mendebatkan tentang sesuatu perkara itu, pastikan juga ia berbaloi kerana banyak perbincangan dalam facebook (termasuk berbentuk politik) lebih kepada berbentuk provokasi dan fitnah, yang belum tahu kebenarannya tetapi dibincangkan secara berleluasa yang boleh mengakibatkan perselisihan faham.
KUATKUASA UNDANG-UNDANG
Siti Suriani berkata kerajaan perlu mengambil beberapa langkah melalui penguatkuasaan undang-undang untuk menahan individu yang dilihat mencemar peluang berdiskusi di alam siber untuk menyebarkan maklumat yang belum pasti kebenarannya.
“Dalam hal ini, saya melihat kerajaan boleh menggunakan kaedah yang berhemah dalam kalangan khalayak yang saya kira celik IT dan celik berita-berita terkini. Kerajaan boleh menggunakan kekuatan media sosial untuk berkempen secara besar-besaran tentang moral penggunaan media sosial itu sendiri, etika dan impak penggunaan yang tidak berhemah,” katanya.
Beliau berkata inovasi penciptaan baharu seperti sosial media memang mempunyai risiko yang tinggi, dan agak sukar untuk kerajaan melenyapkan langsung risiko tersebut, namun, risiko boleh dikurangkan.
“Malah dengan perancangan teratur, teknik berkesan di samping mengikuti perkembangan media sosial itu sendiri, kerajaan boleh menggunakan media itu sebagai medium untuk mengurangkan risiko media sosial.
“Malah meningkatkan penyertaan politik dalam kalangan rakyat kerana suara mereka boleh didengari dengan lebih jelas oleh pihak kerajaan dengan hanya bermediumkan sosial media seperti facebook,” katanya.
TIDAK SALAH JIKA TIDAK SEPENDAPAT
Sementara itu, seorang suri rumah, Nor Ezlinda Ismail, 29, berkata seramai enam rakannya dalam facebook ‘removed’ atau membuangnya dari senarai sahabat mereka kerana mungkin berbeza pendapat mengenai politik.
“Saya selalu ‘post’ status positif atau menyokong sepenuhnya parti Barisan Nasional. Tapi mungkin mereka tak sependapat dengan saya atau menyokong parti lain, terus saya ‘dibuang’ daripada senarai kawan.
“Kesemua mereka berbangsa Cina. Saya sedar mereka ‘membuang’ saya daripada senarai kawan kerana bila saya buka ‘profile’ mereka, dah tak boleh dan saya perlu ‘re-add’ mereka semula,” katanya.
Nor Ezlinda berkata tidak salah kalau seseorang itu tidak sependapat dengan yang lain, malahan kadang-kadang suami isteri pun tidak sependapat dari segi perjuangan politik masing-masing.
Tapi, tidak patutlah terlalu mengikut perasaan sehingga sanggup putus kawan dan memulaukan mereka.
Seorang akauntan sebuah firma di ibu negara, Anas Hakime Ahmad ,32, pula berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana hubungan yang dibina lebih bernilai dari segala-galanya termasuk pemikiran dan pendapat politik masing-masing.
“Tak perlulah gaduh-gaduh sampai putus kawan, cerai-berai, tak ada manfaat pun… Pandangan masing-masing berbeza tak apalah. Jangan ikut perasaan,” katanya yang tidak mahu insiden ekstrem seperti Shaidi menular di dalam masyarakat hanya kerana politik.