Pegawai media sosial kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain iaitu Meor Johari Meor Ahmad, 37, maut manakala rakannya, Rizuan Hashim, 37, cedera setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Slim River, Perak awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi ketika mangsa menaiki kereta Toyota Harrier milik majikannya itu untuk urusan kerja dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur.
Tajul Urus berkata, Meor Johari yang memandu kereta itu dan ditemani Rizuan keluar dari Sungai Petani lewat malam tadi.
“Mereka dijadualkan sampai di ibu negara pagi ini untuk urusan kerja. Saya tidak pergi bersama kerana ada urusan lain di Sungai Petani.
“Saya dimaklumkan bahawa kereta milik saya yang dipandu Meor Johari itu terbabas sebelum terbalik beberapa kali. Dia yang cedera parah di bahagian kepada meninggal dunia di tempat kejadian sementara Ridzuan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita di sini.
Tajul Urus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai memberitahu, Meor Johari meninggalkan seorang isteri dan enam anak berusia antara 10 bulan hingga 11 tahun.
“Dia merupakan seorang petugas yang berdedikasi sejak berkhidmat dengan saya pada tahun 2009,” katanya.
Jenazah Meor Johari dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Peruda petang ini.