Petronas menjangka keuntungan sebelum cukainya tidak berubah bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2013, setelah sumbangan yang lebih tinggi dari Kanada dan Uzbekistan akan mengimbangi penurunan harga minyak mentah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, berkata harga minyak mentah dijangka pada purata kira-kira AS$95-AS$100 setong tahun ini daripada AS$112 setong pada suku pertama tahun ini.
“Ketidaktentuan ekonomi global dijangka membawa kepada keadaan tidak menentu yang berterusan dalam harga minyak dan permintaan minyak dunia yang mungkin mempengaruhi prestasi Petronas,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan suku pertama Petronas hari ini.
Shamsul berkata bagi suku pertama tahun ini, keuntungan sebelum cukai Petronas susut kepada RM28.8 bilion daripada RM29.8 bilion pada tempoh sama tahun lepas.
Perolehan bagaimanapun, naik kepada RM76.67 bilion daripada RM75.25 bilion pada suku sama 2012.
Hadir sama pada taklimat berkenaan ialah Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan pasukan pengurusan utama syarikat minyak nasional itu.