Kota Kinabalu – Polis kini memburu suspek terlibat dalam kes kematian seorang lelaki warga Pakistan yang terbunuh angkara terkena letupan bom buatan sendiri di Kampung Air Tengah, Semporna kelmarin.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek adalah lebih daripada seorang individu dan usaha menjejaki mereka kini giat dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada empat rakan senegara mangsa.
Menurutnya, usaha merungkai motif sebenar kejadian itu sama ada berkaitan dengan dendam, cemburu, hutang atau sebagainya sedang dijalankan, termasuk menjalankan proses mengumpul bukti sedang giat dijalankan.
“Setakat ini belum ada motif dan kita tidak menafikan suspek adalah lebih seorang. Bagaimanapun polis masih mengesan mereka yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Apa yang ingin ditegaskan, pihak polis menolak andaian bahawa kes ini adalah berkaitan dengan pengganas mahupun kejadian bahan letup dan peledak yang telah dicuri di Sepanggar pada April lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.