Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah bertembung dengan sebuah van di ibu negara pagi tadi.
Polis sedang menyiasat sama ada salah sebuah kenderaan melanggar lampu isyarat berhampiran Dataran Merdeka itu.
Nahas berlaku kira-kira pukul 7 pagi tadi di persimpangan lampu isyarat Jalan Raja Leboh Pasar besar berhampiran bangunan Muzium Tekstile Negara.
Van syarikat kawalan keselamatan ini dalam perjalanan dari arah Jalan Hishamudin dan sedang membelok ke kanan arah Leboh Pasar Besar.
Motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai gagal mengelak lalu merempuh sisi kiri bahagian hadapan van terbabit.
Akibatnya mangsa tercampak dan cedera parah di kepala.
Mangsa dikenali sebagai Wan Afif Asyraf Wan Ainol Amir, 24 tahun dari Gombak, Selangor maut di tempat kejadian.
Pemandu van bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saksi kejadian diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.