Cadangan menaikkan tambang bas ekspres sehingga 30 peratus oleh Pengusaha Bas Seluruh Malaysia, PMBOA dilihat tidak munasabah.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, FOMCA, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Darat Awam, SPAD spad perlu mengadakan rundingan dengan pihak terbabit bagi mencari jalan penyelesaian.
Menurut Muhammad Sha’ani, rundingan perlu tertumpu kepada kaedah mengkaji kos operasi yang ditanggung oleh pengusaha bas.
Jelasnya, desakan PMBOA untuk menaikkan kadar tambang bas dilihat membebankan pengguna terutama yang berpendapatan sederhana dan rendah serta golongan pelajar yang ingin pulang ke kampung ketika musim perayaan.
Sebelum ini, PMBOA mengugut untuk tidak menjual tiket lebih awal bagi perjalanan pada bulan Julai dan Ogos sempena musim perayaan sekiranya permintaan untuk meningkatkan kadar tambang sehingga 30 peratus, tidak diluluskan.
______________________
Jangan Ambil Tindakan Secara Kartel, Amaran SPAD Kepada Pengusaha Bas Ekspres
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi amaran kepada semua pengendali bas ekspres agar tidak mengambil tindakan secara kartel untuk tidak menjual tiket bagi musim perayaan Aidil Fitri akan datang.
Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata tindakan sedemikian adalah salah di sisi Akta Persaingan 2010.
“SPAD tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah syarat-syarat pelesenan dan melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata SPAD memandang berat tindakan pengendali bas ekspres yang enggan menjual tiket pada musim perayaan.
“Pihak pengendali bas ekspres tidak seharusnya mengambil kesempatan semasa musim perayaan ini untuk mendesak SPAD menaikkan harga tiket sehingga 30 peratus,” katanya sambil menambah permintaan itu agak mustahil untuk ditunaikan sebelum hari raya kerana proses rundingan serta kajian komprehensif masih dijalankan dan keputusannya akan diumum sebelum akhir tahun ini.
Syed Hamid berkata soal kepentingan rakyat, reaksi persatuan pengguna serta kos operasi yang terpaksa ditanggung pengendali bas ekspres akan diambil kira dalam kajian itu.
Bagaimanapun, katanya, SPAD sentiasa prihatin dan sedia maklum berkaitan peningkatan kos operasi yang ditanggung pengendali, justeru ia bersetuju mereka mengenakan caj tambahan 10 peratus bagi musim perayaan akan datang.
Beliau berkata kelulusan caj tambahan itu dikenakan bagi semua perjalanan dari 8 Julai hingga 8 September tahun ini merangkumi semua perkhidmatan bas ekspres dan bas tambahan.
“Langkah ini dipercayai dapat membantu dan menampung kos pengoperasian syarikat yang perlu menyediakan perkhidmatan tambahan berdasarkan permintaan yang tinggi daripada pengguna, terutama semasa musim perayaan,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Datuk Ashfar Ali berkata pihaknya terpaksa menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus berikutan semakan semula yang dilakukan dalam tempoh empat atau lima tahun sekali sejajar peningkatan kos operasi, yang kini didakwa mencecah 36 peratus.
Syed Hamid meminta semua pengendali bas ekpres mematuhi syarat perlesenan yang ditetapkan supaya menjual tiket seperti biasa bagi mengelak tindakan tegas terhadap mereka diambil dan dilapor kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia.