SEMPORNA 21 Jun – Seorang nelayan cedera parah selepas ditembak sekumpulan perompak bertopeng ketika memancing ikan di perairan Pulau Larapan di sini awal pagi semalam.
Hani Sarabati, 27, berasal dari Kampung Bangau-Bangau di sini terkena satu das tembakan di rusuk kiri dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Firdaus Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa keluar memancing di perairan berkenaan bersama anak lelakinya yang berusia tujuh tahun.
“Bot mangsa tiba-tiba dihampiri sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata menaiki bot tanpa enjin yang mengarahkan nelayan itu membuka enjin botnya.
“Mangsa bagaimanapun memberi alasan tidak mempunyai peralatan untuk membuka enjinnya menyebabkan salah seorang suspek melepaskan tembakan dan mengenai mangsa,” katanya hari ini.
Mohd. Firdaus berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu mangsa sambil menahan kesakitan menghidupkan enjin dan memecut pulang ke rumahnya sebelum dibawa sanak-saudaranya ke hospital.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Semporna sebelum dipindahkan ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
“Mangsa berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan. Polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti sama ada kumpulan terbabit penduduk tempatan atau warga asing,” katanya.