KUALA LUMPUR – Percubaan empat penyamun cuba menyamun sebuah poliklinik ternyata membawa padah apabila seorang daripada mereka mati ditembak di Taman Pertama, Cheras di sini malam tadi.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu, tiga suspek telah memasuki poliklinik dengan bersenjata parang lalu menyamun doktor, jururawat dan pesakit yang berada di situ.
Namun, salah seorang suspek berkenaan telah ditembak selepas cuba menyerang seorang pesakit iaitu ahli perniagaan berpangkat Tan Sri dengan menggunakan parang.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, semasa kejadian doktor bersama seorang jururawat sedang merawat pesakit di dalam bilik, sementara yang lain iaitu dua jururawat dan tiga pesakit berada di luar.
Ahli perniagaan itu cuba melawan dan mengacukan pistol ke arah suspek selepas suspek cuba menyamunnya.
Pergelutan berlaku antara mereka kerana suspek ingin merampas pistol dan mangsa cedera di bahagian perut akibat terkena parang.
Disebabkan itu, mangsa terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sehingga menyebabkan kesemua suspek melarikan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.