Generasi muda perlu dididik dengan asas kenegaraan bermula dari bilik darjah bagi menyemai semangat kesetiaan kepada raja dan negara.
Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah setiap warganegara perlu difahamkan dengan kepentingan lambang kedaulatan dan simbol kebesaran negara iaitu Yang di-Pertuan Agong, Jalur Gemilang dan lagu “Negaraku”.
Mengambil contoh kes individu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Raja Dr Nazrin menjelaskan ramai di kalangan generasi muda hari ini, jahil tentang sistem kebudayaan negara, yang akhirnya menjejaskan perlembagaan negara.
Baginda juga kesal, Jalur Gemilang tidak dihormati, dan dibiarkan reput di tiang bendera.
RAJA DR NAZRIN SHAH / PEMANGKU RAJA PERAK
“Perkara ini amat asas, malangnya telah tidak dititik beratkan, hingga hari ini terdapat kontingen yang menyertai perarakan sambutan Hari Kebangsaan turut menyalah-gunakan pemakaian bendera negara. Bermakna, betapa komponen kenegaraan tidak diutamakan dalam sistem pendidikan negara”.
Raja Dr Nazrin menegaskan, kaedah pengajaran ini tidak hanya dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah, malah di semua maktab, kolej dan insitusi latihan.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia 2013 bertajuk “Pasca Pilihan Raya ke-13 -Permuafakatan dan Perpaduan Nasional”.