Beberapa orang rakan yang kini menunaikan Umrah di Tanah Suci, seronok berkongsi cerita dan gambar kemeriahan berbuka puasa dan solat Tarawih di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.
“Kemeriahannya adalah beramai-ramai berbuka puasa di masjid dan kenikmatannya adalah berkongsi air Zam zam, juadah berbuka seperti kurma dan roti Arab cicah yogurt (susu masam).
“Keindahannya adalah begitu ramai penderma ke masjid berebut-rebut untuk bersedekah makanan kepada jemaah,” kata seorang kenalan.
Cerita beliau mendekatkan kemeriahan dan kesyahduan beribadat di Tanah Suci kepada mereka yang tidak berpeluang ke sana dan menikmati pahala berganda menjalani Ramadan di sana.
Di Malaysia, berbuka puasa sebelum solat fardu dan berTarawih di masjid dan surau memang diamalkan, malah bagi yang rajin mengunjungi berlainan masjid, nikmat berbuka itu lebih dirasai.
DARI MASJID KE MASJID
Pekerja pejabat Farah Nahar akan memastikan beberapa hari dalam bulan Ramadannya beliau berbuka puasa di masjid.
Seronok berkongsi juadah kerana ramai yang bermurah hati bersedekah, katanya.
Sesungguhnya memberi makan adalah contoh bersedekah yang digemari oleh mereka yang berpuasa.
“Barang siapa memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala senilai pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu.” (HR. Turmudzi dan An-Nasa’I)
Inilah kemuliaan Ramadan. Apa yang dirasai bagi mereka yang berebut-rebut ke Tanah Suci untuk melakukan ibadah Umrah ketika ini, di Malaysia amalan itu diikuti dan hikmahnya dikongsi bersama.
Namun tidak semua yang berkesempatan berbuat demikian, tetapi berusaha mewujudkan kemeriahan dan nikmat bersedekah berbuka puasa yang serupa umpamanya dalam kalangan mereka yang bekerja syif.
BERBUKA PUASA DI PEJABAT
Kamalaila Sulaiman misalnya, pada hari pertama puasa lagi sudah menyediakan bekas-bekas kecil berisi kurma untuk diagihkan kepada rakan-rakan setugas di sebuah agensi.
Tidak payah lagi rakan-rakan yang bekerja syif malam untuk tercari-cari kurma ketika berbuka.
Bekalan kurma ini juga berguna bagi rakan-rakannya yang memandu balik tetapi kadang-kadang terpaksa berbuka puasa dalam kereta kerana kesesakan luar biasa lalu lintas ketika Ramadan.
Di pejabat Kamallaila, setiap hari akan ada orang yang sanggup meredah kesesakan jalan raya itu semata-mata untuk membantu membelikan makanan bagi rakan-rakan lain.
Ada juga yang melantik dirinya ketua untuk mengumpulkan sumbangan sama ada dalam bentuk wang mahupun makanan yang akan dikongsi beramai-ramai ketika berbuka puasa.
Jika ada penyumbang juadah utama pada hari itu, umpamanya nasi biryani atau nasi ayam, petugas syif malam itu akan diberitahu awal supaya nanti mereka hanya perlu membeli juadah ringan untuk tambahan.
Akhirnya juadah yang dikongsi menjadi banyak, kerana ada yang membeli dan ada yang membawa makanan untuk rakan-rakan dari rumah.
RAKAN IMAM
Bagi Amer Ali, disebabkan ramai rakannya berbuka puasa di pejabat, beliau lebih suka berbuka dengan mereka terlebih dahulu dan balik ke rumah selepas solat Maghrib berjemaah.
Ini semua, secara disedari atau tidak oleh individu itu, adalah amalan sedekah yang amat mulia dan dihargai teman-teman.
Lebih indah lagi apabila ada petugas yang bersedia menjadi Imam bertarawih dengan rakan-rakan. Beliau akan dialu-alukan bertugas malam oleh yang lain.
Lain orang, lain peranannya dan lain orang, lain pula cara sedekahnya sepanjang Ramadan al-Mubarak
Sabda Rasulullah saw ” Mukmin yang baik adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain.”