Hari kedua puasa, penulis terlewat sedikit untuk ke masjid menunaikan solat Tarawih. Walaupun menyedari pada hari-hari awal Ramadan perkarangan masjid akan penuh dengan kenderaan, saya masih mahu mencuba, tapi ternyata tiada ruang untuk memakir kereta.
Anak yang menumpang, saya turunkan di hadapan pintu pagar masjid dan saya membuat keputusan ke surau berhampiran. Masih ada ruang pakir, namun daripada kasut dan selipar yang memenuhi pintu hadapan surau, menunjukkan surau itu pun penuh dengan jemaah.
Ada empat orang jemaah wanita sudah bersedia solat di luar pintu surau. Berdasarkan ruang di dalam selain jemaah nampak duduk selesa di dewan utama, saya merasakan empat wanita itu atau sekurang-kurangnya saya, boleh mencelah dan mengisi ruang yang ada untuk bersama jemaah lain.
Cuma jemaah di Malaysia sudah biasa dengan keadaan selesa, membentang sejadah masing-masing dan berjemaah dalam keadaan saf yang tersusun.
Disebabkan itu, untuk seorang dibenarkan masuk di celah-celah mereka, dirasakan mustahil walaupun hanya untuk solat lapan rakaat. Kebiasaannya ruang solat akan separuh kosong untuk jemaah yang meneruskan solat sunat Tarawih hingga 20 rakaat.
DI TANAH SUCI
Bandingkan situasi yang serupa di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Jemaah Malaysia yang sama kebanyakannya secara semulajadi akan cuba menyesuaikan diri dengan kesesakan umat Islam bersolat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, sehingga sanggup berhimpit untuk menunaikan ibadah.
Setakat tubuh kecil orang Malaysia, jemaah dari negara lain pun tidak keberatan untuk memberi ruang bagi mereka berdiri solat di celah-celah saf yang sudah terbentuk.
“Setiap kali saya beri ruang seorang jemaah untuk mencelah, setiap kali itulah jika saya terdesak, akan ada orang yang memberi saya ruang bersolat di sebelahnya walaupun dalam keadaan berhimpit sedikit,” kata seorang jemaah haji kepada saya semasa di tanah suci.
SELIPAR DI MASJID
Zukri Ali baru membeli sepasang selipar, tapi dia merasa sayang untuk memakainya ke masjid, “takut hilang,” katanya. Tapi selipar buruk yang dipakainya kemudian, tertukar sebelah dengan orang lain, menyebabkan dia balik memakai selipar berbeza warna selepas solat Tarawih.
Tapi esoknya mujur orang yang terambil sebelah selipar itu memulangkannya, dan Zukri yang sengaja membawa semula selipar yang tertukar itu ke masjid, puas hati.
Jemaah Siti Sara Hasan mengesyorkan kenapa tidak diamalkan seperti di Makkah dan Madinah, apabila masing-masing jemaah Malaysia membawa kain bungkusan yang cantik untuk mengisi selipar yang, sama ada di bawa ke sudut berhampiran mereka solat di dalam masjid, atau diletakkan di rak kasut yang banyak disediakan.
Memang betul, sarung kasut jemaah Malaysia berwarna warni dan cantik kerana ada yang ditempah khas atau sumbangan hadiah. Jika tidak pun, selipar mereka diisi ke dalam beg plastik. Siti Sara tertanya-tanya juga apa jadi sarung selipar itu sebaik kembali ke Malaysia?
Ini kerana selipar di masjid tidak lagi disusun bersarung, tetapi dibiar bersepah di hadapan masjid atau surau. Bila waktu pulang, mulalah jemaah berebut-rebut mencari pasangan selipar masing-masing.
Ini seperti perbandingan yang dibuat mengenai cara seseorang itu memandu atau membuang sampah di Malaysia dengan bila mereka berada di luar negara. Di sana mereka berdisiplin, tetapi melangkah sahaja masuk ke Malaysia, kelakuan mereka bertukar. Jika ini suatu gurauan, anggaplah ia suatu yang negatif.
PARKIR
Memandu kereta ke masjid pun sama, menyebabkan keadaan di luar masjid sesak. Penulis biasa berjalan kaki hampir satu kilometer ke Masjidil Haram dari tempat menginap setiap kali masuk waktu solat. Ketika itu yang dikeluhkan adalah kenapalah tidak dipraktikkan di Malaysia berjalan kaki ke masjid supaya badan ringan sedikit untuk berjalan jauh di Makkah?
Tetapi sekembali ke Malaysia tabiat lama berulang. Masing-masing jemaah seboleh-bolehnya akan memandu dari rumah walaupun dekat dan berebut memakir kereta di hadapan masjid.
Bagaimanapun umat Islam di Malaysia pemurah sikapnya. Hinggakan tiada masjid dan surau yang tidak menyediakan juadah berbuka puasa walau tidak setiap hari sekalipun. Kadang-kadang jamuan ‘more’ (selepas Tarawih) pun disediakan.
Bagi Zaini Karim, rutin beliau setiap Ramadan ialah mengutip sumbangan dari rumah ke rumah di sebuah taman perumahan untuk penyediaan juadah berbuka puasa di surau taman itu.
“Selain jemaah taman ini, biasanya sekumpulan pelajar universiti akan singgah berbuka di sini,” katanya.
Namun cadang Siti Sara, elok juga masjid dan surau menyediakan air minuman kosong atau air mineral untuk jemaah yang mengerjakan solat sunat Tarawih 20 rakaat dan Witir tiga rakaat.
“Ini bagi saya lebih dihargai sebab saya perhatikan orang tidak berapa hendak makan juadah ‘more’ kerana sudah mahu bergegas pulang sebab waktu habis solat pun kadang-kadang hingga pukul 11 malam.”
Seperti di Tanah Suci bekalan air zam zam yang tidak putus, amat dihargai jemaah untuk menghilangkan dahaga, katanya.
HANYA SEBIJI KURMA
Seorang kenalan bercerita bahawa di bulan Ramadan yang lalu, beliau tercari-cari majlis berbuka puasa di sebuah bangunan besar.
Malangnya beliau tersalah tempat dan terbuka pintu masuk majlis berbuka puasa orang lain. Waktu itu azan baru berkumandang lantas beliau ditunjukkan tingkat sebenar yang harus beliau tuju selepas diberikan kurma dan air untuk berbuka.
Amalan murni menyentuh hati yang lazim dilakukan turutan dari Tanah Suci, tanda bersedekah di bulan Ramadan.