Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam semalam berpandangan siri penghinaan agama Islam yang dilakukan golongan tidak bertanggungjawab semacam sudah dirancang dan sengaja dila-kukan lebih-lebih lagi ketika Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam kenyataan, kecewa terhadap perlakuan pihak yang sengaja menimbulkan isu bagi mencetuskan kemarahan umat Islam, sekali gus menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.
Beliau berkata, perbuatan yang dilakukan golongan itu melampaui batas kesabaran umat Islam.
“Dengan pelbagai penghinaan yang dilakukan sebelum ini, kita tidak mahu lagi kata-kata atau perlakuan biadab dan tidak bertamadun oleh rakyat Malaysia atau mana-mana warga asing dipandang sebelah mata tanpa diambil tindakan tegas dan hukuman maksimum mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
Bertindak segera
Abdul Shukor menekankan tindakan tegas dengan segera perlu dilaksanakan pihak berkuasa supaya perbuatan menghina Islam tidak terus berulang, selain menjadi pengajaran buat semua.
Beliau menarik perhatian perbuatan menghina dan mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan kemudian memohon maaf menjadi mainan pihak berkaitan dan ini tidak harus dibiarkan berlaku.
Abdul Shukor berkata, muzakarah khas itu menggesa orang Islam bersatu dalam menghadapi niat jahat pihak biadab itu demi mempertahankan kesucian agama dan maruah umat di negara ini.
Sementara itu, di Kuala Lumpur; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya sedang memantau individu, kumpulan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cuba memainkan sentimen keagamaan untuk diambil tindakan tegas seperti Akta Hasutan 1948 bagi memastikan keharmonian negara.
KDN pantau aktiviti
Beliau berkata, KDN melalui Bahagian Penerbitan dan Pencetakan al-Quran serta Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam memantau semua aktiviti itu.
“Kelmarin, saya mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, mengenai isu sensitif yang dibangkitkan melalui media sosial.
“Mana-mana agama yang cuba dikutuk adalah perkara sensitif yang boleh merosakkan keharmonian kepelbagaian agama di negara kita. Akta Hasutan masih wujud dan berkuat kuasa,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Masjid Bukit Aman, di sini, semalam.