Remaja dilapor hilang sejak sebulan kembali ke pangkuan keluarga
Parit Buntar: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang dipercayai mengikut teman lelaki yang dikenali dalam laman sosial Facebook, pada 8 Julai lalu, kembali semula ke pangkuan keluarganya di sini Jumaat lalu.
Siti Sakira Ahmad, 18, mendakwa dipukau sehingga lupa dirinya sendiri dan keluarga selain tidak mengetahui kedudukan dia berada sehingga seorang wanita dikatakan ibu angkat yang menjaganya sepanjang 26 hari tidak kembali ke rumah, membaca mengenai kehilangannya dalam akhbar ini.
Ikut lelaki baru dikenali
“Sewaktu keluar dari tempat kerja dan mengikut seorang rakan lelaki yang baru dikenali, saya dihantar ke sebuah tempat dan dikenalkan dengan seorang rakan perempuan. Sejak tinggal dengannya, saya seperti tidak mengingati apa-apa termasuk diri dan keluarga.
“Saya dijaga ibu kepada rakan perempuan itu yang tidak tahu menahu perkara sebenar mengenai kehilangan saya kerana saya sendiri tidak ingat kejadian berlaku sebelum itu.
“Namun, selepas ibu angkat terbaca di akhbar ini mengenai kehilangan saya, dia segera memaklumkan kepada saya dan menghubungi kakak meminta keluarga mengambil saya di Matang Jelutung, Alor Pongsu,” katanya ketika ditemui i semalam.
Pada 29 Julai lalu, akhbar ini melaporkan Siti Sakira, hilang pada hari pertama bekerja di sebuah kilang pada 8 Julai lalu, dipercayai mengikut teman lelaki dikenali dalam laman sosial Facebook, tiga minggu sebelum itu.
Anak kelapan daripada sembilan beradik itu dipercayai termakan pujukan teman lelakinya dengan melarikan diri ketika waktu rehat kerja jam 3 petang. Ini memaksa bapanya, Ahmad Awang, 75, membuat laporan di Balai Polis Kuala Kurau, pada keesokannya.
Bersyukur dapat kembali
Siti Sakira berkata, beliau bersyukur dapat kembali ke pangkuan keluarga dan tidak sabar mahu menyambut Aidilfitri bersama kedua ibu bapa dan adik beradiknya yang lain.
Sementara itu, ibunya,Salmah Sejan, 47, melahirkan kesyukuran dan menitiskan air mata apabila dapat bertemu semula dengan anaknya itu.
“Saya sungguh gembira apabila dia kembali ke pangkuan keluarga dan pastinya raya kali ini bertambah meriah. Saya berharap kejadian ini tidak akan berlaku lagi pada masa depan dan kami akan menjaganya sebaik mungkin,” katanya.