BANGKOK — Menteri Luar China, Wang Yi menyifatkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin ASEAN yang cemerlang dengan wawasan strategik kerana memahami bahawa China yang lebih besar dan kukuh akan memanfaatkan jiran-jirannya.
“Seperti yang disebut oleh Dr. Mahathir bertahun-tahun dahulu, pembangunan China membawa manfaat kepada negara-negara jirannya. Ia adalah satu peluang, bukan satu ancaman,” katanya dalam satu ucapan pada pembukaan Forum Peringkat Tinggi pada Ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik ASEAN-China di sini, semalam.
“Saya percaya Dr. Mahathir bukan membuat komen kasual di sini. Beliau mempunyai pemahaman yang mendalam terhadap China,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia menyedari bahawa walaupun pertumbuhan pesat itu telah menjana keuntungan untuk jiran ASEAN, ia telah membawa kepada syak wasangka, kebimbangan dan salah faham.
Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun, import China akan mencecah US$10 trilion dan pelancong dari negara itu akan berjumlah 400 juta.
Beliau berkata, China dan ASEAN patut meningkatkan usaha untuk membangunkan versi Perjanjian Dagangan Bebas China-ASEAN yang dipertingkat dan integrasi ekonomi serantau.
Beliau berkata, kedua-dua pihak patut mengambil peranan dalam kerjasama maritim dan menggunakan Tabung Kerjasama Maritim China-ASEAN dengan aktif, sambil menambah China mengalu-alukan lebih banyak cadangan projek dari negara ASEAN.