Hulu Selangor – Hasrat sepasang suami isteri warga emas untuk pulang berhari raya tidak kesampaian setelah kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan pagi tadi.
Si isteri maut selepas terperosok di bawah kereta yang dipandu suaminya.
Kemalangan berlaku kira-kira jam lapan pagi tadi di kilometer 423.6, lebuhraya utara selatan arah Ipoh sebelum susur ke Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Kereta Proton Iswara dipandu suami mangsa dalam perjalanan dari ibu negara menuju kampung mereka di Kuala Kangsar, Perak.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta ini hilang kawalan sebelum terbabas dan dipercayai berpusing beberapa kali.
Akibatnya, Shamsiah Kisan, 65 tahun maut setelah tercampak keluar dari kereta.
Manakala suaminya yang cedera dihantar ke hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Bekalan kuih raya dan juga pakaian turut bertaburan di atas jalan.
Mayat dihantar ke hospital Kuala Kubu Bahru untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.