“Kita sedang cuba membantu rakyat Syria dan banyak yang beragama Kristian. Saya harap kita tidak mengehadkan diri dengan membantu umat Islam sahaja. Kita membantu demi kemanusiaan,” katanya.
Rakyat Malaysia perlu menginsafi nasib malang yang menimpa rakyat Syria ekoran perang saudara yang tercetus sejak lebih dua tahun lepas, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana itu berkata rakyat Malaysia harus bersyukur dengan kehidupan yang dinikmati sekarang, dan menyeru mereka supaya membantu golongan yang memerlukan.
“Saya yakin lebih dua juta pelarian Syria yang terpaksa mencari perlindungan di sempadan-sempadan negara lain memerlukan bantuan seperti air, perubatan dan sanitasi.
“Kem-kem yang menempatkan pelarian ini juga amat tidak selesa dan mereka juga berdepan dengan pelbagai jenis penyakit,” katanya pada majlis pelancaran Tabung Kemanusiaan Syria Media Prima Berhad dengan kerjasama Mercy Malaysia di sini Jumaat.
Yang turut hadir Pengarah Eksekutif, Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad Datuk Ahmad A.Talib dan Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus.
Dr Mahathir yang memuji keprihatinan kedua-dua organisasi itu berkata rakyat Malaysia juga boleh mengambil bahagian membantu meringankan beban rakyat Syria dengan menderma melalui tabung itu.
Katanya Syria mengalami perang yang dahsyat termasuk penggunaan senjata kimia, dan pelarian negara itu, yang sebahagian besarnya kanak-kanak, terpaksa berlindung di sempadan Turki, Lebanon dan Jordan.
“Kita sedang cuba membantu rakyat Syria dan banyak yang beragama Kristian. Saya harap kita tidak mengehadkan diri dengan membantu umat Islam sahaja. Kita membantu demi kemanusiaan,” katanya.
Orang ramai boleh menyumbang melalui akaun Maybank 5642-7651-1200 atau akaun CIMB 1422-0000930-10-4 di bawah nama “Tabung Kemanusiaan Syria Media Prima Berhad”.
Sumbangan juga boleh dibuat dalam bentuk cek atas nama “Tabung Kemanusiaan Syria Media Prima Berhad” dan hantar kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Aras 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.