Cubaan seorang lelaki membuang tatu di badan kerana khuatir permohonannya menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditolak, membawa padah apabila dia meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), kelmarin.
N Dinesh Nair, 25, dari Taman Tiong, Kulim, disahkan meninggal dunia jam 4.30 petang selepas 12 hari dilaporkan koma.
Berdasarkan maklumat, mangsa dikatakan pergi ke sebuah klinik di Jalan Sekerat, di sini, kira-kira 12 hari lalu bagi membuang tatu di badan, namun tiba-tiba pengsan ketika menjalani proses berkenaan.
Berikutan itu, mangsa dikejarkan ke HSAH dengan ambulans sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.
Selepas 12 hari dirawat di ICU dalam keadaan koma, mangsa meninggal dunia kelmarin.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat abang mangsa di Ibu Pejabat Daerah ( IPD) Polis Kuala Muda, semalam.
Jurucakap polis IPD Kuala Muda, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dilakukan.