Walaupun BN sering dihentam kerana mengamalkan sistem ‘perkauman’ melalui parti-parti komponen, tetapi ternyata sistem itulah yang memastikan semua kaum tidak terpinggir kerana masing-masing punya suara yang sama lantang untuk bersuara.
Sebaliknya, DAP yang sering mendabik dada sebagai parti berbagai kaum terbukti bukan sahaja meminggirkan, tetapi menindas kaum bukan Cina dengan berbagai cara halus mahupun terbuka Pemilihan CEC yang penuh kontroversi adalah bukti segala-galanya.
Di dalam DAP, bukan sahaja kaum lain tidak diberi peluang, tetapi kaum Cina dari Sabah juga turut dipinggirkan seolah-olah mereka merupakan Cina kelas kedua berbanding Cina Semenanjung. Buktinya, tiada calon dari negeri itu yang bertanding dalam CEC yang lalu.
Sedangkan, di masa yang sama, DAP sedang berusaha untuk menawan Sabah dan Sarawak sambil mengecam BN konon tidak membela rakyat kedua negeri itu dengan sebaiknya. Menurut Lim Kit Siang, parti itu akan memberi tumpuan khas ke atas Sabah bagi merampas negeri itu dari BN dalam PRU-14 nanti.
Walaupun bercita-cita tinggi untuk menawan Sabah, tetapi pertandingan CEC DAP menyaksikan tiada calon dari Sabah. Sebagai ‘ganti’, DAP melantik wakil dari negeri itu sebagai Ahli Jawatankuasa bagi menunjukkan seolah-olah parti itu berlaku adil. Dr. Edwin Bosi kini merupakan satu-satunya wakil dari Sabah di dalam CEC DAP.
Sebelum ini, DAP telah mengadakan program ‘kawasan angkat’ di kawasan-kawasan sasaran di Sabah di mana beberapa Ahli Parlimen dan ADUN dilantik sebagai ‘pemantau’ bagi memastikan kemenangan dalam PRU-14.
Jelas sekali DAP begitu bersungguh-sungguh ingin merampas Sabah, namun atas sikap kuku besi yang kronik, kepimpinan DAP keberatan memberi kuasa kepada wakil dari Sabah.
Sewajarnya rakyat Sabah mengambil iktibar dari apa yang berlaku ini dan belajar menilai DAP dengan minda dan hati yang terbuka. DAP tidak segan silu berlaku tidak adil dan tidak segan silu menipu. DAP juga tidak pernah merasa kesal atau bersalah serta tidak ingin berubah. Biarpun pemilihan CEC berlangsung dengan penuh manipulasi dan diskriminasi, DAP terus melakukan manipulasi dan diskriminasi yang sama dalam pemilihan semula.
Lebih teruk dari itu, DAP juga sanggup mengumumkan seorang Cina sebagai wakil Melayu.
Untuk rakyat Sabah, jangan sekali-kali lupa bahawa DAP telah menipu dan menindas kaum Melayu dan India di Pulau Pinang. DAP telah mendiskriminasi dan memijak ahli-ahlinya sendiri yang berbangsa Melayu dan India dalam pemilihan jawatankuasa parti. DAP turut memperlekeh kaum Cina dari Sabah. Dan pastinya DAP tidak memandang sebelah mata pun terhadap pribumi Sabah.
Sabah, bagi DAP, hanyalah platform untuk merebut kuasa.