MAS Sahkan Pesawat Twin Otter Maswing Mendarat Di Luar Landasan Di Kudat
Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan pesawat Twin Otter MASwing, MH3002, beroperasi dari Kota Kinabalu ke Kudat terlibat dalam nahas pada 2.50 petang hari ini.
Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu hari ini, pesawat itu mendarat di luar landasan di Kudat.
“Tiada kematian dilaporkan setakat ini. Fokus syarikat penerbangan ketika ini ialah menyelamatkan penumpang dan krew.
“Malaysia Airlines akan terus memantau keadaan di tapak nahas dan akan memberikan perkembangan terkini mengenai keadaan itu,” menurut kenyataan itu.
KOTA KINABALU: Dua cedera parah apabila pesawat komersil milik MASwings terhempas di sebuah kampung di Kudat pada Khamis.
Butiran berkenaan kekal walaupun difahamkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera dalam nahas yang berlaku sekitar pukul 2.55 petang Khamis.
Difahamkan seorang juruterbang dan dua lagi penumpang cedera parah sementara penumpang lain mengalami kecederaan ringan.
Terdapat 16 orang dalam pesawat tersebut termasuk juruterbang.
Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Kudat untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Wakil MASWings ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengeluarkan butiran lanjut mengenai kejadian akan dikeluarkan tidak lama lagi kerana pihaknya masih mengumpulkan maklumat sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden yang berlaku.
Berdasarkan kenyataan saksi mengatakan pesawat terhempas secara tiba-tiba ekoran tiupan angin kencang ketika kejadian bagaimanapun pegawai MASWings enggan mengesahkan perkara tersebut.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy Ramin berkata pesawat yang dinaiki 16 orang itu terhempas di Kampung Sinsan.
“Panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.54 petang dan jentera bomba bersama 11 anggota tiba di tempat kejadian 21 minit kemudian.
“Kesemua 16 mangsa dalam pesawat tersebut berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Kudat untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Kudat terletak kira-kira 17o kilometer dari Kota Kinabalu.
MASWings menawarkan perkhidmatan udara di kedua-dua bandar berkenaan.