Proses pemilihan sayap wanita UMNO Bahagian Ampang hari ini sedikit kecoh apabila beberapa perwakilan melahirkan rasa tidak puas hati dengan borang pengundian pemilihan Wanita bahagian dan pusat.
Menurut calon Ketua Wanita Bahagian Ampang, Datuk Dr. Rozaidah Talib, borang undi yang diberi secara serentak bagi proses pengundian bahagian dan pusat berwarna merah itu dilihat mengelirukan.
Jelas beliau, apa yang membezakan hanyalah tulisan pada kertas undi itu yang mana bagi peringkat pusat berwarna merah manakala bahagian berwarna putih.
“Tetapi sekali imbas ia seakan-akan sama kecuali seseorang perwakilan itu membaca dengan teliti.
“Walaupun Ampang dianggap kawasan pinggir bandar, ada juga wanita-wanita warga emas sama ada mereka itu lambat membaca atau mata tidak terang atau tertinggal kaca mata, ia akan menyusahkan dan mengelirukan,” katanya kepada pemberita di Pusat Pemilihan Wanita dan Puteri UMNO bahagian Ampang di Kelab Darul Ehsan di sini.
Rozaidah yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 berkata, beliau tidak mengatakan pemilihan warna pada tulisan itu tidak praktikal tetapi tulisan pada dua kertas undi itu perlu berbeza dari segi warna.
Dalam pada itu, tambah beliau, proses pengundian tersebut sepatutnya dibuat dua kali iaitu pertama pengundian untuk pemilihan bahagian dan kedua bagi pemilihan pusat.
“Walaupun ada yang menyatakan proses serentak ini untuk menjimatkan masa dan saya rasa ia tidak boleh diterima.
“Sistem baharu parti yang lebih demokrasi tidak perlu memikirkan soal menjimatkan masa sebaliknya memberi ruang kepada perwakilan memilih pemimpin yang sesuai,” katanya.